Jaludin Harap Jentera Penerangan Terjemah Segala Maklumat, Beri Pencerahan Kepada Masyarakat
BEAUFORT, 8 Ogos – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Jaludin Kadir berharap agar jentera Penerangan UMNO di setiap bahagian ataupun cawangan menterjemahkan segala maklumat diperolehi dalam usaha untuk memberikan pencerahan kepada masyarakat.
Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Penerangan UMNO Malaysia kerana telah bertamu di Beaufort pada Sabtu lalu dan berharap agar program seperti ini akan terus dilaksanakan.
“Pertamanya, tentulah saya ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih di atas kunjungan Penerangan UMNO Malaysia ke UMNO Bahagian Beaufort. UMNO Bahagian Beaufort ini terpilih sebagai salah satu di antara bahagian tumpuan.
“Alhamdulilah program berjalan dengan lancar dan pada hemat saya telah mencapai objektif yang telah ditetapkan. Saya juga ingin mencadangkan selepas ini akan ada program seumpama ini sebagai kesinambungan kepada program Jelajah Penerangan UMNO ini.
“Pada saya, perlu ada satu kenaziran ataupun pemantauan daripada pihak ibu pejabat UMNO khususnya daripada Penerangan UMNO Malaysia untuk memastikan sama ada jentera penerangan di bahagian dan cawangan melaksanakan gerak kerja mereka atau tidak,” katanya kepada UMNO Online.
Tegasnya, sekiranya jentera penerangan di peringkat bahagian ataupun cawangan tidak menyebarkan segala informasi yang telah diberikan sepanjang program tersebut berlangsung, ia akan terhenti setakat itu sahaja.
“Kalau tidak dilaksanakan maka informasi, strategi dan cabaran-cabaran masa kini yang telah didedahkan, isi kandungan dalam ceramah-ceramah serta program tersebut akan menjadi sebagai pengetahuan. Akan terhenti setakat itu sahaja.
“Ia tidak akan dapat diterjemahkan dalam bentuk satu tindakan untuk kekuatan parti sedangkan matlamat kita mengadakan program seumpama ini adalah untuk mengukuhkan dan menguatkan parti disamping memantapkan lagi gerak kerja kita.
“Pada akhirnya, kita mahu mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat. Mudah-mudahan kita akan dapat mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Beaufort telah diadakan pada Sabtu dan disertai lebih 400 orang jentera penerangan di peringkat bahagian mahupun cawangan.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort empat peringkat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman