UMNO Lahir Daripada ‘Perut’ Rakyat, Dalam Apa Keadaan Tetap Memberi Jasa – Razlan

PENDANG, 19 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Raffi berkata harus diakui UMNO yang kini berusia 78 tahun lahir daripada ‘perut’ rakyat.

Kata Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu, sejak menerajui kerajaan terdahulu sehinggalah sekarang ini, setiap perancangan dan usaha yang dilaksanakan adalah untuk kepentingan rakyat.

“UMNO sudah 78 tahun. Lahirnya kita ini adalah daripada ‘perut’ rakyat. Kita buat semuanya adalah untuk rakyat. Kita lihat pembangunan kiri kanan, setiap inci jalan di kampung, tanah Felda, Felcra kita wujudkan dan ia lahir daripada UMNO.

“Begitu banyak jasa dalam masa 78 tahun ini yang telah kita buat. Kita tidak pernah melupakan rakyat dan rakyat menikmati hasil usaha yang dibawa untuk pembangunan di kawasan-kawasan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pendang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Suraya Yaacob, wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, bekas Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pendang.

Seterusnya ulas Razlan, pemimpin masyarakat akar umbi memainkan peranan penting untuk menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Berucap di hadapan hampir 800 orang perwakilan, Razlan berkata UMNO tidak akan sesekali menggadai prinsip perjuangan terutama menyentuh mengenai agama, bangsa dan negara dan sentiasa menjadi pengimbang di dalam kerajaan sekarang ini.

Tegasnya, ini berbeza ketika zaman Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad dan PPBM sebagaimana contoh bertindak membekukan peruntukan dana tahfiz.

“Bossku (Perdana Menteri Keenam-Datuk Seri Najib Razak) pernah buat Himpunan Hufaz. Peruntukan disediakan agar sekolah tahfiz dapat dana untuk pentadbiran. Naik Mahathir bersama mereka (PPBM) dana ini mereka bekukan.

“Bila kita jadi kerajaan, terus dikembalikan dana tersebut dan dimasukkan dalam bajet (Bajet 2024) yang berjumlah RM1.9 bilion keseluruhan (pembangunan hal ehwal Islam),”

Tambahnya, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga memikirkan bagaimana mahu melahirkan generasi Al-Quran bermula di peringkat awal dengan mewujudkan Tadika Kemas Pra Tahfiz.

Selain itu ujarnya, UMNO juga memainkan peranan besar dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi kemajuan anak bangsa dan ditambah pula dengan Tahfiz TVET. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit