Rozi Ajak UMNO Terengganu Terus Bergerak Ke Depan, Lupakan Kekalahan Lalu

KUALA NERUS, 13 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat mengajak seluruh ahli dan jentera parti di negeri berkenaan untuk terus bergerak ke depan dalam usaha memastikan perjuangan parti terus subur.

Menurut beliau meskipun masing-masing masih dibelenggu kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, namun itu sudah berlalu dan pada hari ini masing-masing perlu bergerak ke depan.

“Marilah kita bersama-sama bergerak ke depan…walaupun kalah kita lupakan kekalahan itu.

“Untuk seorang pejuang, kekalahan bukan erti kita mati tetapi untuk menilai di mana kelemahan dan kekurangan seterusnya ‘move foward’ dalam usaha kembali membela nasib  rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Nerus yang disempurnakan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut serta Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta pimpinan setempat yang lain.

Rozi yang juga Ketua UMNO Hulu Terengganu seterusnya menambah kehadiran pada mesyuarat baik di peringkat cawangan dan bahagian amat membanggakan sama seperti di Kuala Nerus hari ini.

“Inilah masanya untuk kita sama-sama berganding bahu…tolak budaya yang tidak sihat dan marilah kita sama-sama muhasabah.

“Selepas ber, kita sama-sama bergerak ke depan untuk mengembalikan semula UMNO sebagai peneraju di negeri Terengganu,” tambahnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit