Azalina Tegaskan Semua Mahkamah Sedia Dengar Kes Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said  memaklumkan  buat masa ini, semua Mahkamah Sesyen bersedia untuk mendengar kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menurut beliau setakat ini, sebanyak 10 buah Mahkamah Khas Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak telah diwujudkan di Semenanjung Malaysia manakala bagi Negeri Sabah dan Sarawak pula, pada masa ini tiada mahkamah khas yang mendengar kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Walau bagaimanapun, infrastruktur/kelengkapan yang dibangunkan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah dan Kompleks Mahkamah Kuching, Sarawak boleh diguna secara bersama oleh kesemua Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah dan Kompleks Mahkamah Kuching, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan  RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, petang tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong mencelah pada sesi perbahasan RUU berkenaan dan membangkitkan keperluan untuk Kerajaan mewujudkan mahkamah khas kanak-kanak di setiap negeri di Malaysia bagi memastikan kes-kesberkaitan kanak -kanak didengari dengan cepat dan pantas.

Azalina seterusnya menambah selain itu, terdapat lima puluh satu (51) Mahkamah Sesyen Jenayah Am yang turut mendengar kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak di seluruh Negara bagi menampung keperluan lokasi dan sentiasa memastikan akses kepada keadilan tercapai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.