UMNO PJ Anjur Hari Terbuka Pendidikan Untuk Warga Petaling Jaya 18 Julai Ini

PETALING JAYA, 10 Julai – Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyambut baik segala inisiatif murni yang berteraskan pendidikan dan juga program-program masyarakat yang dapat membantu menaik taraf daya pemikiran sebuah komuniti di bandar mahupun luar bandar.

“Selain membina keyakinan yang mampu menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik, pendidikan seharusnya diterapkan sebagai budaya dan tunjang kemajuan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Media UMNO Online.

Susulan daripada kenyataan tersebut, Pengerusi Biro Pendidikan & Kemajuan Intelek, UMNO Bahagian Petaling Jaya, Ahmad Faez Bahari dengan kerjasama institusi pendidikan di Petaling Jaya akan menganjurkan Hari Terbuka: Pendidikan Parlimen Pataling Jaya pada 18hb Julai (Khamis), 3.00 petang di D’Buana Hall, Jalan PJS 2/18A, Petaling Jaya, Selangor.

Kerjasama ini akan memberi penerangan khas dan peluang pendidikan percuma, khususnya melalui inisiatif Belanjawan 2024 Kerajaan Madani: Bina Kerjaya 2.0 yang telah dilanjutkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 31 Disember 2024.

Pelbagai kursus persijilan ringkas (Micro Awards) yang ditawarkan dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), seperti asas ‘Pengurusan Kewangan’, ‘Perkhidmatan Pelanggan’ sehingga kursus ‘A.I’ dan ‘Big Data’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.