Majlis Sosial Negara Tangani Isu Sosial Dalam Kalangan Remaja, Bentuk Keperibadian Insaniah – Noraini

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kerajaan telah menubuhkan Majlis Sosial Negara (MSN) sebagai jentera pelaksana dasar sosial negara yang merupakan dasar payung merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata ia bagi menangani isu sosial dalam kalangan remaja seperti buli, jenayah berkaitan kanak-kanak, rogol dan pembuangan bayi berkait rapat dengan pembentukan keperibadian insaniah dalam diri remaja dalam usaha melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berkeperibadian tinggi.

“Majlis yang diurus setiakan oleh KPWKM ini dianggotai oleh menteri-menteri dan pegawai kanan kementerian-kementerian yang berportfolio sosial berkaitan bagi memastikan isu yang dibincangkan dan tindakan susulan dapat diambil oleh kementerian atau agensi yang sewajarnya,” katanya.

Noraini berkata ketika ditanya Zulkifli Ismail (PN-Jasin) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau lagi, fungsi dan peranan utama MSN adalah untuk membuat keputusan dasar tentang hala tuju pembangunan sosial, mengenalpasti dan membuat keputusan bagi menangani isu-isu yang berkaitan pembangunan sosial dan menilai program atau strategi pembangunan sosial.

Tambah Noraini, KPWKM menerusi jabatan dan agensinya telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti membangunkan dasar dan pelan tindakan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ataupun pekerti yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semua pihak termasuklah remaja dan kanak-kanak berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif serta melahirkan masyarakat yang penyayang, bertanggungjawab dan berdaya tahan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sederhana.

“Kedua, membangunkan modul cakna diri remaja dan modul Accurate, Comprehensive dan Effective (ACE) untuk mendidik remaja berkaitan kesehatan reproduktif dan sosial. Ketiga, mendirikan 18 buah pusat remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN dan aplikasi maya KafeTEEN yang berkonsepkan mesra remaja.

“Keempat, menyediakan pusat sokongan sosial setempat (PSSS) yang menawarkan perkhidmatan psikologi sosial seperti bimbingan dan kaunseling. Kelima, melaksanakan program kasih kanak-kanak iaitu program advokasi yang ditujukan kepada kanak-kanak bawah 18 tahun sebagai usaha pencegahan sosial. Keenam, menyediakan institusi pemulihan kepada remaja yang berkonflik dengan undang-undang

“Justeru melalui kolaborasi strategik dan komitmen semua pihak melibatkan agensi kerajaan, swasta, NGO serta masyarakat adalah diperlukan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dan seterusnya membendung peningkatan kes gejala sosial dalam kalangan remaja,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.