Dinamika Politik Hari Ini Tuntut Kerja Keras Sebaiknya Dekati Rakyat – Haryaty

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Dinamika politik hari ini menuntut ahli parti untuk terus bekerja keras melaksanakan gerak kerja sebaiknya kepada rakyat, kata Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.

Beliau berkata ia penting sebagai mengambil pengajaran dengan keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu, apabila menyaksikan tiada wakil Parlimen UMNO/Barisan Nasional yang memenangi kerusi tersebut.

“Realiti dulu UMNO/BN menang 21 daripada 28 Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri tetapi semasa PRU kita hilang enam kerusi Parlimen.

“Ini membuktikan ahli parti kena sedar, kita kena ubah pendekatan dengan dekati kelompok-kelompok tertentu melalui pelbagai cara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Kemas, Jalan Lama Telok Mas yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad.

Haryaty dalam pada itu turut sama menyambut baik saranan Ahmad Zahid yang berharap ahli parti untuk bersikap rasional untuk menangani isu-isu yang dibawa pihak lawan berkenaan parti keramat ini.

Menurut beliau lagi langkah tersebut boleh dilakukan dengan memanfaatkan media sosial dalam menyebarkan agenda parti dan kerajaan bagi memberi kefahaman kepada rakyat secara jelas.

“Dengan kehadiran presiden ni, ahli-ahli parti rasa bertuah dan mendengar maklumat terus daripada presiden sendiri tentang keadaan semasa politik sekarang ni. Presiden tekankan tentang media sosial kena manfaatkan penggunaannya.

“Di samping itu kena juga buat aktiviti secara bersemuka dan dalam masa sama ahli-ahli parti perlu bersikap rasional dalam menangani sebarang isu.

“Tidak boleh cepat-cepat melatah, kalau ada orang cucuk dan sebagainya sebaliknya pusatkan kepercayaan itu kepada pucuk pimpinan supaya tidak terpedaya dengan dakyah yang berada di bawah ni. Sebab apabila kita tak teguh pendirian tidak bersama kepimpinan akan bermasalah kerana parti ni nak digerakkan seperti satu kapal,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.