Bersama Perkukuh Parti, Tanggungjawab Ahli Pastikan UMNO Kembali Dominan – Maizatul Akmam

BAKRI, 10 Julai – Seluruh ahli UMNO bertanggungjawab untuk sama-sama pastikan parti ini kembali dominan, kata Bendahari Wanita UMNO, Datin Maizatul Akmam Alawi.

Ujarnya, walaupun hari ini UMNO merupakan salah satu tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan tetapi parti ini bukanlah pemegang kuasa sebenar.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli parti, dan terutama wanita sebagai tulang belakang UMNO, untuk bersama memastikan parti kita kembali dominan.

⁠”Justeru saya mengajak semua untuk bersama-sama memperkukuhkan parti, bersama membina keyakinan rakyat agar UMNO boleh berkuasa sekali lagi, dapat menjadi sebuah parti yang membawa kemakmuran kepada rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Bakri pada Sabtu lalu.
Dalam usaha memperkukuh parti, Maizatul Akmam juga menggesa agar dilaksanakan persiapan jentera Wanita bagi menghadapi pilihan raya kelak.

“Semua ahli harus bersiap siaga. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sampai tiga tahun lagi. Wanita mewakili lebih separuh daripada jumlah keseluruhan ahli parti ini maka tentu sekali parti meletakkan pengharapan kepada wanita.

“Wanita UMNO adalah jenama yang sudah lama sinonim dengan UMNO. Wanita adalah ‘trusted brand’ dan kita perlu kekalkan jenama itu.

“Pendekatan baharu dalam gerak kerja seiringan dengan peredaran masa dan sikap pengundi yang semakin dinamik,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut sama-sama menyatakan sokongan kepada pentadbiran tertinggi parti yang banyak berkorban demi UMNO.

“Sama-samalah kita menyatakan sokongan dan merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang telah banyak berkorban untuk parti dan tetap setia walaupun menempuhi pelbagai dugaan sebelum ini,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datul Azman Ismail; Ketua Wanita Bahagian, Safiah Semon serta barisan kepimpinan di sini termasuk perwakilan parti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.