UMNO Sebuah Perjuangan, Bersama Rapatkan Saf – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan para perwakilan bahawa UMNO adalah sebuah parti perjuangan dan bukan sekadar parti politik.

Kata Khaled dalam satu perkongsian di laman Facebook dan akaun X, sudah menjadi lumrah dalam sebuah perjuangan, adakala kita menang dan adakalanya kalah serta akan ada masa pasang dan surut.

“Tetapi perjuangan melalui UMNO tetap akan diteruskan kerana keberadaan kita ini tidak bergantung kepada keputusan pilihan raya. Melompat bila kalah. Datang bila menang.

“Kita bersama UMNO atau membuat sesuatu pendirian kerana kita kasih dan sayang kepada bangsa, kita ingin berbakti dan mahu membina bangsa yang mandiri. Dan ini lebih mudah dilakukan jika kita mempunyai kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beluran pada Isnin.

Dalam perkembangan semasa, Menteri Pertahanan itu juga menekankan semua pihak dalam parti perlu berlapang dada dan menerima hakikat mengapa tidak berjaya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap baru-baru ini.

“Meskipun ada pihak yang menyalahkan UMNO, terdapat beberapa perkara utama yang menyebabkan pengundi menolak calon Kerajaan Perpaduan, antara lain kenaikan kos sara hidup dan masalah berkaitan tarif dan bekalan air di Pulau Pinang.

“Kenaikan kos sara hidup tersebut berkait dengan pengapungan harga diesel yang diumumkan bagi tujuan melaksanakan subsidi bersasar. UMNO menyokong inisiatif subsidi bersasar ini.

“Pun begitu, kita perlu terima hakikat bahawa ada kelemahan dalam kita menguruskan kesan terhadap kenaikan harga barangan. Begitu juga dalam soal tarif dan bekalan air yang saya percaya kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sewajarnya,” katanya lagi.

Seterusnya dalam ucapannya juga, Khaled menyarankan semua pemimpin dan ahli UMNO Beluran serta perwakilan untuk merapatkan saf, menarik lebih ramai orang muda terhadap parti dan seterusnya meningkatkan kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Mudah-mudahan, melalui usaha itu, UMNO Beluran akan bangkit dan menyumbang kepada kemenangan UMNO di Sabah. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.