Fan Bingbing Sebagai ‘Melaka Friendly Tourism Ambassador’ Bawa Ledakan Ekonomi Setempat

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri bagi membawa masuk Fan Bingbing ke negeri berkenaan sebagai ‘Melaka Friendly Tourism Ambassador’ sekitar 16 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan.

Menurut beliau kerajaan negeri hanya mengeluarkan kos sebanyak RM77,850.00 manakala kos-kos utama yang lain ditanggung sepenuhnya oleh penajaan syarikat-syarikat swasta.

“Melangkah masuk hari ini ke Persidangan Kedua, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri. Saya bangun pagi ini bagi menjawab soalan daripada YB (Yang Berhormat) Sungai Udang berkenaan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi membawa masuk Fan Bingbing ke negeri Melaka sebagai ‘Melaka Friendly Tourism Ambassador’.

“Di hadapan semua Ahli Dewan saya menjawab, kerajaan negeri hanya mengeluarkan kos sebanyak RM77,850.00 manakala kos-kos utama yang lain seperti tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, ground handling, kos perkhidmatan professional dan ‘project mapping’ di Encore Melaka sejumlah RM420,497.00 ditanggung sepenuhnya oleh penajaan syarikat-syarikat swasta. Daripada jumlah keseluruhan kos RM498,347.00 ini, kerajaan negeri hanya membiayai sekitar 16% sahaja,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Namun kata beliau lagi pihak yang menimbulkan persoalan berkenaan ‘hilang’ ketika penjelasan diberikan berhubung perkara tersebut.

“Tetapi sayangnya, tuan badan yang bertanya soalan kepada saya hilang di waktu saya membentangkan perincian jawapan ini. Mungkin beliau lebih berminat mendengar jawapan di Facebook berbanding mendengar sendiri di dalam Dewan yang mulia ini.

“Saya ucapkan terima kasih juga kepada YB Dr Akmal Saleh yang turut bangun menepis tohmahan YB Sungai Udang mengatakan tindakan YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membawa masuk Fan Bingbing ini sebagai tindakan ‘kurang bijak’.

“Yang ‘kurang bijak’ inilah yang berjaya menggamit nama Melaka ke mata dunia. Dalam tempoh empat hari keberadaan Fan Bingbing di sini, sebanyak 445 juta carian mengenai negeri Melaka telah dibuat oleh penduduk China di aplikasi WeChat.

“Hasilnya yang saya boleh rumuskan dalam masa yang singkat ini, kita jangkakan September ini, negeri Melaka akan menerima enam penerbangan sehari daripada pelancong-pelancong negara China menggunakan Scoot Airlines. Sudah semestinya, pulangannya adalah ledakan ekonomi buat rakyat negeri Melaka,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.