‘Warna Merah, Biru PN Tiru UMNO/BN Semata-mata Mahu Kelirukan Rakyat’ – Ab Rauf

KOTA MELAKA, 8 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri  Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menempelak parti lawan, Perikatan Nasional (PN) yang meniru UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Menurut Rauf, ini termasuk identiti parti seperti nama dan warna parti yang digunakan menyamai UMNO/BN.

“PN ini semua tiru kita… dulu parti Perikatan kemudian tukar Barisan Nasional jadinya dia ambil ‘perikatan’ dan ‘nasional’.

“Baju merah dan biru pun macam kita semata-mata hendak kelirukan orang, gunalah warna lain kenapa nak tiru kita sebab nak kelirukan rakyat.

“(Sedangkan) merah dan biru kita original. Nak kelirukan orang sampai bila?“ katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian pada Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Kemas, Jalan Lama Telok Mas, semalam, yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang bertindak sebagai tuan rumah serta kehadiran kepimpinan negeri dan bahagian.

Ab Rauf yang Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, dalam pada itu turut sama berkata perkara sama dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertindak mempengaruhi rakyat sehinggakan sokongan orang Melayu dilihat terpecah.

“Tun Mahathir pun sama dia lanyak orang tapi bila dia kena kata orang zalim, itulah perosak bangsa kerana dia lahirnya parti-parti yang menentang UMNO.

“Mengelirukan pemikiran rakyat sewaktu dia menjadi pemimpin terulung tapi bila dia tak dapat bermacam kata pada parti.

“Akhirnya berubah pemikiran rakyat terhadap UMNO kita tak berdaya untuk mempertahankan kerana beliau merupakan ikon yang cukup hebat pada ketika itu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.