UMNO Lahirkan Pemimpin Hebat, Teruskan DNA Pastikan Parti Sentiasa Jadi Pelopor Perjuangan – Johari

KEPALA BATAS, 8 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa UMNO adalah parti yang banyak berjasa sejak penubuhannya pada tahun 1946 sehingga ke hari ini malah telah lahirkan ramai pemimpin Melayu yang hebat-hebat bagi menerajui negara dan selesaikan permasalahan rakyat.

Ujarnya, biarpun parti ini mempunyai sejarah gemilang dan apa juga kejayaan yang lepas-lepas tapi paling penting adalah kemenangan dalam pilihan raya serta bagaimana untuk yakinkan rakyat bahawa UMNO ini telah menunjukkan kebangkitan dan bukan bernostalgia dengan kehebatan masa lampau sahaja.

“Tidak ada siapa yang boleh menidakkan jasa UMNO kepada negara. Bangsa kita dulu yang tinggal dalam negara bernama Tanah Melayu telah dijajah begitu dahsyat, dari Portugis, British, Jepun, komunis namun apabila timbul kesedaran kita telah bersatu padu menubuhkan satu gerakan yang dipanggil perjuangan atas nama UMNO untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Pada ketika itu, orang-orang Melayu yang berjuang adalah untuk generasi akan datang. Kita nak negara ini ditadbir dalam acuan kita, maka wujud pejuang-pejuang dalam UMNO yang tidak ada tolok bandingnya kerana berjuang melawan penjajah tanpa balasan apa-apa.

“Parti ini 11 tahun berjuang, kerana keikhlasan dan kesabaran maka dapatlah negara mencapai kemerdekaan. Setelah itu apa pejuang-pejuang itu dapat? Tak ada apa-apa pulangan kerana pada tahun 1947 saiz ekonomi kita hanya pada kadar 170 juta ringgit.”

Ujarnya, sejak awal lagi UMNO telah lahirkan pemimpin-pemimpin yang berjuang dengan ikhlas tanpa balasan apa-apa.
“Waktu itu tak ada balasan wang ringgit, tak ada kerusi DUN atau kerusi Parlimen, tak ada balasan apa-apa. Namun kemudian dalam masa 60 tahun pemimpin kita mentadbir negara mengikut acuan sendiri maka saiz ekonomi yang hanya pada kadar 170 juta ringgit itu telah meningkat kepada hampir 1.6 trilion ringgit.

“Sebabnya dalam masa 60 tahun UMNO lahirkan banyak pemimpin-pemimpin hebat, maka banyaklah juga yang dapat manfaat secara langsung atau tidak langsung iaitu semuanya hasil daripada kestabilan politik yang dipelopori oleh UMNO, semuanya hasil oleh kepimpinan UMNO yang memberi pulangan kepada keseluruhan rakyat pelbagai bangsa termasuklah di Sabah dan Sarawak juga,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika berucap di hadapan perwakilan ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas, pada Ahad.

Dalam hal ini, Johari mengingatkan bahawa anggota parti perlu terus memastikan UMNO menjadi pelopor dalam melahirkan kepimpinan hebat untuk negara dan bukannya saling berebut jawatan untuk menjadi pemimpin.

“Dulu pejuang-pejuang cari pemimpin untuk tadbir negara. Tapi kali ini berbeza apabila adanya simptom perangai ahli yang berlumba-lumba jadi calon hingga lupa nilai perjuangan.Kerana itulah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, majoriti berkerajaan dengan kemenangan 2/3 semakin merosot.

“Akhirnya UMNO makin lama makin berpecah yang membuka ruang luas untuk jadikan orang Melayu memilih bersama dengan parti yang tak pernah terfikir oleh mereka. PRU13 keputusan makin kurang dan akhirnya PRU14 kita hilang banyak kerusi dan hilang kerajaan pusat.”

Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, UMNO tidak boleh terus bernostalgia dengan sejarah lampau sebaliknya bangkit dan pulihkan kembali parti dengan memahami nilai perjuangan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit