UMNO Kota Melaka Tekad Khidmat Rakyat, Fokus Program Pendidikan Untuk Anak Bangsa

KOTA MELAKA, 8 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman memaklumkan pelbagai agenda rakyat dilakukan di bahagian beliau secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, ini termasuk kepada generasi muda melalui penyediaan program pendidikan seperti dilaksanakan kepada para pelajar yang akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“UMNO bukan hanya memikirkan politik tetapi tentang anak-anak bangsa. Macam Kota Melaka ini kita menitik beratkan program pendidikan.

“Alhamdulillah untuk tahun ini sahaja dengan disertai oleh 350 pelajar, 75 orang telah mendapat keputusan yang cemerlang yang boleh kita banggakan,” kata Abdul Razak yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Kemas, Jalan Lama Telok Mas, semalam yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kesempatan itu juga dimanfaatkan untuk pemberian penghargaan dan sumbangan kepada para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang yang disampaikan oleh Ahmad Zahid.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta timbalannya, Datuk Rais Yasin; kepimpinan bahagian dan negeri.

Abdul Razak dalam pada itu turut sama berharap akar umbi untuk tidak leka dengan kemenangan Pilihan Raya Negeri lepas, sebaliknya terus bekerja keras bagi mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dan Duyung serta pengajaran daripada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Saya mohon kepada semua ahli-ahli UMNO di termasuk di Kota Melaka jangan kita leka dengan sedikit nikmat daripada Allah, dengan kemenangan kita… tetapi Allah dah ajar pada PRU15 apabila kita kalah.

“Kita kekalkan momentum untuk pastikan dua kerusi yang ada ini pada pilihan raya akan datang terus membentuk kerajaan negeri,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.