UMNO Bukan Parti Jalanan… Lahir Atas Semangat Perjuangan Suci Demi Agama, Bangsa, Negara

PUTRAJAYA, 8 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan mengingatkan anggota parti khususnya golongan muda agar menghayati perjuangan dan penubuhan UMNO yang ditubuhkan lebih 78 tahun lalu.

Katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, penubuhan UMNO adalah berteraskan perjuangan suci demi agama, bangsa dan negara.

“UMNO ini bukan parti yang ditubuhkan di jalanan, ia bukan sebuah parti yang dibina dengan asas kebencian, UMNO tidak ditubuhkan dengan matlamat agenda peribadi tetapi UMNO dilahirkan kerana membawa semangat mahu melihat nasib anak bangsa dibela.

“UMNO dilahirkan atas asas semangat perjuangan suci yang mahu menjunjung agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu serta tanah air tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Marang, pada Jumaat.

Dalam kesempatan tersebut beliau juga melahirkan penghargaan dan berbesar hati kerana dapat bersama-sama anggota parti di sini dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli UMNO.

“Tahniah kepada semua perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Marang yang amat komited dan bersemangat dalam hasrat meneruskan kesinambungan perjuangan yang telah di lakar kepimpinan terdahulu.

“Kitalah pewaris perjuangan bangsa,” katanya lagi. – UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.