Johari Ingatkan Perkuat Kembali UMNO, Jangan Salahkan Mana-mana Pihak Bila Lemah

KEPALA BATAS, 8 Julai – “Jangan salahkan mana-mana pihak atau salahkan mana-mana parti politik jika UMNO lemah dan kalah sebaliknya salahkan diri kita sendiri.”

Demikian tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas, Ahad.

Ujar beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, sewaktu UMNO kuat, rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN) juga kuat dan dapat mentadbir dengan baik.

“UMNO adalah tunjang dalam BN. Apabila tunjang kuat, UMNO kuat maka secara tidak langsung rakan-rakan dalam BN iaitu MCA dan MIC pun kuat.

“Waktu kita kuat, MCA dan MIC juga kuat kerana dalam konsep BN tak pernah bertanding atas nama atau lambang UMNO kerana kita mahukan negara yang terbentuk dengan kerjasama mengangkat masyarakat majmuk untuk bangunkan negara,” katanya.

Dalam hal ini beliau menekankan matlamat UMNO untuk menjaga negara dan berjuang dengan kesabaran dan keikhlasan.

“Pihak lawan sibuk cerita UMNO-Dap, ideologi berbeza dan sebagainya, maka kita perlu tahu ini adalah Kerajaan Perpaduan. Mana-mana parti politik memang ada ideologi yang berbeza tapi UMNO jalan (melaluinya).

“Kita perlu memahami kestabilan negara ini perlukan pemimpin untuk membangun bersama-sama termasuklah pemimpin Melayu dari UMNO. Kita menang 26 kerusi (Parlimen) tapi jawatan menteri dapat tujuh sedangkan Dap ada 40 (kerusi) tapi menteri dapat empat saja.

“Kita nak jaga negara kita supaya dapat terus berkembang. Kita berjuang hari ini untuk meneruskan agenda dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang dari UMNO dan menyumbang kepada negara.”

Justeru kata Johari, UMNO perlu belajar dari sebahagian parti-parti politik yang kalah tetapi konsisten dalam perjuangan biarpun berpuluh-puluh tahun kalah namun akhirnya berjaya.

“Jika kita buat benda sama, strategi sama, cara sama maka kita tidak akan dapat keputusan yang berbeza. Kerana itu, tukar semula, pergi kepada masyarakat dan bagi tahu mereka bagaimana menilai pemimpin kerana kita tak nak orang Melayu ini apabila diangkat jadi pemimpin akan memalukan orang Melayu.

“Tengok Kelantan, semua pemimpin Melayu tapi 34 tahun mentadbir masalah air pun tak selesai. Pemimpin mesti dipastikan bertanggungjawab. Kita perlu akui bahawa kita kalah kerana kerana berpunca dari pemimpin UMNO dari peringkat atas sampailah bawah dan kita tidak ada sikap untuk lahirkan pemimpin baharu.”

Jelas beliau generasi hari ini bukan sekadar mahukan pemimpin yang tahu beri sumbangan khidmat tapi mereka juga mahukan perancangan dan visi untuk kepimpinan masa depan negara.

“Janganlah ada setakat bergasak minta kerusi banyak tapi apabila diberi bertanding maka kalah.

“Nak masuk bertanding pilihan raya parti kena bagus, jaga parti kita. Apa-apa yang kita tak suka simpan untuk dalaman saja dan jadikan parti ini sebagaimana yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin kita terdahulu.

“Calon juga kena hebat, dan jentera perlu ada ada solid untuk melaksanakan gerak kerja maka barulah UMNO boleh menang semua,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.