Ahmad Zahid Tegaskan UMNO Sentiasa Bela Orang Melayu, Santuni Pelbagai Kaum

PENGKALAN HULU, 8 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa agenda parti ini membela orang Melayu tetapi dalam masa yang sama sentiasa menyantuni masyarakat pelbagai kaum.

Ujarnya UMNO adalah parti yang sentiasa menyantuni kaum-kaum lain walaupun parti Melayu.

“UMNO terkenal sebagai parti orang Melayu tetapi menyantuni pelbagai kaum, pelbagai bangsa dan pelbagai budaya. Itulah istimewanya UMNO,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga menerangkan bahawa pelaksanaan agenda parti selari dengan usaha kerajaan.

“Inilah yang dibela oleh Presiden UMNO yang diletakkan di bawah KKDW. Selain itu dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Gig. Kita juga mencadangkan TVET maka hari ini telah dilaksanakan TVET dan Suruhanjaya Gig yang ianya adalah resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO iaitu perwakilan UMNO meluluskannya.

“Adakah UMNO hanya membela Melayu? Jawapannya tidak kerana TVET juga adalah untuk orang Cina, orang India, orang Iban dan semua rakyat Malaysia.”

Ahmad Zahid juga menerangkan tentang perjuangan sehingga wujudnya Dasar Tahfiz Negara.

“Kini ada Dasar Tahfiz Negara. Ada sebanyak 1,999 maahad tahfiz yang berdaftar selain ada yang tak berdaftar. Melalui dasar ini kita TVETkan sebahagian melalui maahad tahfiz ini supaya ada huffaz yang boleh masuk TVET. Yang hafal quran tetapi jurutera kerana kita mahu mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gerik yang berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Aznel Ibrahim dan perwakilan bahagian Gerik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.