Terima Kekalahan PRK Sungai Bakap Dengan Terbuka, Satu Pengajaran Tapi Jangan Lemah – Reezal Merican

KEPALA BATAS, 7 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kekalahan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam bukan perkara mudah namun diterima dengan hati terbuka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam merangkap Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas mengakui bahawa kekalahan tersebut bukanlah mudah tetapi menghormati keputusan yang dibuat oleh para pengundi kawasan terbabit.

“Kekalahan semalam memberi satu pengajaran yang hebat. Ini adalah satu signal yang perlu diterima dengan hati terbuka namun jangan merasa lemah sebaliknya teruslah bekerja,” katanya.

Ujarnya, setiap anggota parti perlu berlapang dada menerima sebarang keputusan setelah melakukan usaha.

“Kita perlu berlapang dada menerima setiap apa yang berlaku. Nak buat apa, buatlah dalam bentuk berkumpulan, hormati keputusan dan jika pandangan tak diterima maka hormati keputusan bersama.

“Apa-apa pun kita perlu terus bekerja,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas yang berlangsung hari ini, di sini.

Terdahulu, dalam PRK DUN Sungai Bakap calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail sah diumumkan menang dengan majoriti 4,267 undi bagi mengekalkan kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos tahun lalu.

Abidin yang meraih 14,489 undi menewaskan pencabar tunggalnya daripada Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi. dengan majoriti yang lebih besar.

PRK DUN itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.