‘Sudah Menjadi Tanggungjawab UMNO Jaga Kepentingan Rakyat, Negara‘- Mohamad

SEREMBAN, 7 Julai – Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sudah menjadi tanggungjawab UMNO untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara seperti mana yang telah dilakukan oleh pejuang parti yang terdahulu dalam memerdekakan Tanah Melayu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ini termasuk penyertaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang membuktikan UMNO berjiwa besar dalam memberikan keutamaan dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Kita bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyelamatkan negara, setelah tiga hari selepas pilihan raya kerajaan tak boleh ditubuhkan. Maka kita telah pun diminta, dititahkan untuk berjiwa besar, lupakanlah tentang politik dulu, lupakanlah persengkataan yang penting negara perlu diselamatkan.

“Maka inilah kerajaan yang saya panggil functional government yang semata-mata ditubuhkan untuk mengurus negara.

“UMNO/BN khususnya berjiwa besar walaupun jelas tahu bahawa jika kita tubuhkan kerajaan ini kita akan mendapat banyak rintangannya.

“Apakan daya UMNO selaku sebuah parti yang telah pun memerdekakan negara ini daripada asas tidak ada apa-apa miskin orang Melayu pada ketika itu dimerdekakan negara ini menentang British, menentang Melayan Union dan dapat merdeka maka kita tidak mahu melihat negara yang kita merdekakan akan hancur,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Royal Chulan, Seremban hari ini, turut hadir ialah Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Seri Dr Awaludin Said; Naib Ketua Bahagian, Datuk Zaifulbahri Idris dan kepimpinan bahagian.

Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri dalam pada itu turut sama mengajak akar umbi parti khususnya bahagian Rembau untuk bersatu hati dalam meneruskan pemerkasaan UMNO dan seterusnya membina negara yang gemilang.

Menurut beliau, tohmahan yang dilempar terhadap kepimpinan dan parti perlu dinilai secara rasional kerana ia disifatkan sebagai melemahkan parti.

“Bangkit dan bangun semula sebagai sebuah negara yang disegani oleh masyarakat antarabangsa. Jangan kita layan sangat fitnah-fitnah orang ini memang nak melemahkan semangat.

“Dalam masa yang sama kuatkan parti kita untuk buat segalanya yang baik-baik bahagian Rembau, menunjukkan kematangan yang baik

“Inilah kekuatan Rembau yang bersedia untuk bekerja kuat, inilah rahsia dengan sentiasa bersama. Kita sebulat bak seikat serai teruskan kekuatan bukan pada harta benda, tetapi kebersamaan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.