UMNO N. Sembilan Bawa Semangat Perpaduan, Bantu Kemenangan Cikgu Joohari Di Sg Bakap

NIBONG TEBAL, 5 Julai – Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bersama barisan kepimpinan negeri telah membawa semangat perpaduan untuk membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohd Fadil Md Zin berkata, para jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) telah berjaya membuktikan semangat setiakawan apabila bertungkus lumus membantu jentera Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh berkempen.

“Alhamdulilah, banyak tempat yang telah kami ziarahi dari rumah ke rumah. Kami ada berjumpa dengan pelbagai kaum yang berada dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Puteri Gunong ini dan alhamdulilah kami lihat sokongan daripada mereka begitu baik. Mereka juga menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kami membawa semangat perpaduan Negeri Sembilan untuk hadir bersama-sama di Negeri Pulau Pinang ini bagi memastikan kemenangan calon nombor satu dari Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin. Apa yang telah kami lihat pada petang ini semuanya berjalan dengan baik dan lancar.

“Kempen juga berjalan dengan baik apabila para jentera BN telah menunjukkan… inilah semangat setiakawan yang ada dalam UMNO/BN dan ia dibawa untuk diteruskan di Negeri Pulau Pinang. Di DUN Sungai Bakap ini kami telah pun bersama-sama walaupun dari parti berlainan. Namun inilah semangat yang kami bawa selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan selepas PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 lalu,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, masyarakat pada hari ini sudah semakin memahami asas terbentuknya Kerajaan Perpaduan dan akan membuat keputusan bijak pada PRK kali ini.

“Masyarakat juga semakin lama telah memahami apakah maksud perpaduan yang dibawa oleh kerajaan pada hari ini. Jadi, insya-Allah saya yakin dan percaya pada hari Sabtu ini, rakyat di DUN Sungai Bakap akan memilih dengan bijak serta memberi mandat kepada calon nombor satu dari Kerajaan Perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin menyambung legasi kemajuan.

“Insya-Allah pada 6 Julai nanti kemenangan akan berpihak kepada calon Kerajaan Perpaduan, Cikgu Joohari Ariffin. Jangan lupa orang-orang di Sungai Bakap, undilah Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Hazratul Ilani Misdar turut merayu agar anak-anak muda memberikan kepercayaan kepada calon Kerajaan Perpaduan untuk mengemudi kawasan DUN Sungai Bakap.

“Saya mewakili Pergerakan Puteri UMNO dan anak-anak muda dari Negeri Sembilan, memohon dan merayu kepada anak-anak muda di DUN Sungai Bakap ini, untuk keluar mengundi pada hari Sabtu ini.

“Undilah calon nombor satu, calon Kerajaan Perpaduan, iaitu Dr Joohari Ariffin demi kemajuan dan perpaduan di Sungai Bakap,” katanya.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.