Sekretariat Kesatuan Pekerja Dan Gig Ekonomi UMNO Malaysia Alu-Alukan Langkah Kerajaan Jayakan SEGiM

KUALA LUMPUR, 5 Julai –  Sekretariat Kesatuan Pekerja dan Gig Ekonomi UMNO Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan yang akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dalam usaha mengawal selia kepentingan dan kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara berkenaan yang diusahakan sebelum ini akhirnya mendapat tumpuan serta perhatian kerajaan dengan mewujudkan suruhanjaya tersebut dengan langkah pertama Akta berkaitan akan dibawa ke Parlimen.

Menurut beliau perbincangan dengan mereka yang berkepentingan khususnya kalangan e-hailing serta p-hailing akan dilakukan sebaiknya termasuklah dengan kumpulan sasaran lain yang terlibat dalam sektor ekonomi tersebut.

“Sebelum ini kita telah pun adakan perbincangan dengan golongan berkenaan dan selepas ini akan diperluaskan lagi dengan mereka yang terlibat dalam sektor tersebut. Alhamdulillah… akhirnya yang kita usahakan dan kita perjuangkan bersama-sama sebelum ini mendapat perhatian kerajaan.

“SEGiM ini penting dalam usaha menjaga kepentingan serta kebajikan pekerja dalam sektor tersebut. Jaringan kebajikan, keselamatan, persaraan dan sebagainya lagi ada. Ini dari sudut pekerja tetapi dari sudut operator pun kita nak lihat juga… syarikat-syarikat daripada luar negara yang menjalankan operasi perlu tengok juga. Jadi kita boleh lihat secara khusus. Apa yang penting mereka mahukan perkhidmatan dapat apa yang mereka mahu dan pekerja yang terlibat pula gembira,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut serta Penasihat Persatuan Penghantar Malaysia, Fairuz Jamaluddin, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dan mereka yang terlibat dalam sektor tersebut.

Memetik laporan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan SEGiM akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ia sebagai kesinambungan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Ekonomi Bumiputera baru-baru ini yang mahu melihat ia diwujudkan dan suruhanjaya itu bukan saja meliputi hal berkaitan kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing malah melibatkan pekerja separa masa dan separa profesional.

“Kerana kumpulan ini termasuk bawah Akta 789 iaitu Akta Bekerja Sendiri dan ia akan dapat dilakukan dalam tempoh dua bulan atau 60 hari dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan SEGiM semalam.

Sharkar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah dengan kewujudan SEGiM, manfaat yang cukup besar dapat dinikmati termasuklah memudahkan urusan kedua-dua pihak yang terlibat.

“Sebagai contoh 19 agensi terlibat… insya-Allah selepas ini ianya mungkin di bawah satu bumbung sekaligus dapat disatukan perkara yang berhubungkait dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Sharkar turut menjelaskan perkara-perkara lain akan dibincangkan dengan lebih mendalam lagi selepas ini dalam usaha melancarkan penubuhan SEGiM nanti.

“Semalam saya telah bersama dengan agensi dari pelbagai kementerian bersama dan bincang hala tuju seterusnya dan beberapa keputusan juga telah dibuat… ini termasuklah pembentangan Akta yang akan dibentangkan di Parlimen nanti. Yang kita ada sekarang Akta Pekerja. Kena buat akta dahulu baru kemudiannya tubuhkan suruhanjaya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.