PRK Sg Bakap: Undilah Calon Yang Mendukung Aspirasi Kerajaan Perpaduan

NIBONG TEBAL, 5 Julai – Para pengundi dinasihatkan untuk memilih calon yang mendukung aspirasi Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, esok.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, beliau telah bersama-sama rombongan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan untuk turun berkempen bagi membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, pada Khamis.

“Alhamdulillah, kami daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan dan seluruh jawatankuasa berkesempatan turun ‘walkabout’ untuk merayu undi bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap ini dengan harapan agar pada kali ini calon kita akan memenangi PRK Sungai Bakap.

“Pada 6 Julai nanti minta semua pengundi untuk keluar mengundi. Jangan lupa bawa kad pengenalan dan jangan lupa undi calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus memberi khidmat kepada rakyat pada masa akan datang.

“Harapan saya, kerana saya datang jauh, datang berkempen beramai-ramai… apa yang penting, pada 6 Julai, hari Sabtu, undilah calon nombor satu iaitu Dr Joohari Ariffin ataupun dikenali sebagai Cikgu Jo. Cikgu Jo inilah sebenarnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang boleh membantu penduduk-penduduk di Sungai Bakap jika diberikan kemenangan.

“Undilah calon yang mendukung aspirasi Kerajaan Perpaduan, kerana Kerajaan Perpaduan inilah yang akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat pada masa akan datang. Undilah Cikgu Joohari, calon nombor satu,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.