PRK Sg Bakap: Undi Calon Kerajaan Perpaduan, Bakal Wakil Rakyat Yang Boleh Diharapkan

NIBONG TEBAL, 5 Julai – Para pengundi dinasihatkan untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kerana beliau merupakan seorang bakal wakil rakyat yang boleh diharapkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar semua pengundi tidak kira yang menetap di luar atau dalam kawasan Sungai Bakap keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada esok dalam memilih wakil rakyat di kawasan tersebut.

“Satu perkara penting… peringatan saya kepada para pengundi. Pada hari Sabtu, kita perlu mengundi pada waktu pagi dan tengah hari, khuatir ada apa-apa perkara berlaku seperti hujan di sebelah petang. Jadi lebih baik kita mengundi awal.

“Kepada mereka yang ingin menyokong Kerajaan Perpaduan, calon nombor satu, silalah pulang dan apa yang kita harapkan ialah peratusan mengundi meningkat. Kalau tidak meningkat sekalipun, janganlah terlalu rendah.

“Jika di Kuala Kubu Bharu 68 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada PRK baru-baru ini turun tujuh peratus kepada 61 peratus. Di sini 77 peratus pada PRN lalu dan kita berharap sekiranya ia turun, semoga tidak turun dengan begitu mendadak. Sekitar 70 peratus adalah satu angka yang baik,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Puteri Gunong di Majlis Malam Beramah Mera Bersama Penduduk Kaum India DUN Sungai Bakap.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan para pengundi untuk membuat pilihan yang tepat agar kebajikan rakyat di Sungai Bakap akan dapat dibela oleh kerajaan negeri mahupun pusat.

“Saya difahamkan bahawa pengundi luar di kawasan ini tidak begitu jauh. Mereka banyak berada di sekitar pulau dan juga Seberang Perai Utara dan Tengah. Maka pulanglah pada hari mengundi. Lagipun hari pada hari Isnin merupakan cuti umum. Kita manfaatkannya untuk balik bertemu keluarga pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin. Ini satu peluang untuk pulang sambil bercuti dan mengundi.

“Jangan lupa untuk undi calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin. Saya yakin beliau mempunyai pengalaman yang luas sebagai bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki yang mendidik guru-guru besar. Tentulah beliau boleh menjadi wakil rakyat yang kita harapkan,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.