Mohamad Hasan Terus Khidmat Bakti Di Rembau, Santuni Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati turun padang bagi menyantuni rakyat dengan menghadiri pelbagai program serta ziarah kasih ke rumah penduduk sekitar yang kurang bernasib baik.

Dengan itu beliau yang juga Menteri Luar Negeri dan Timbalan Presiden UMNO mengambil peluang tersebut untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-45 dan Jualan Agro Madani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau.

“Pulang ke Rembau bagi menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-45 dan Jualan Agro Madani PPK Rembau yang diadakan di Dewan Seri Rembau.

“PPK Rembau juga menyambut ulang tahun ke-50 minggu lalu. Turut disempurnakan pembayaran zakat perniagaan PPK Rembau bagi tahun 2023 dan serahan bantuan kepada peladang bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti tananam mereka,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Mohamad kemudiannya juga ke Dewan Agora Rembau bagi meyempurnakan Majlis Penyampaian Daging Korban (Sejuk Beku) sumbangan Yayasan Budi Ihsan Malaysia dan Penyampaian Bantuan Persekolahan Sumbangan Yayasan Pelajaran Mara.

“Alhamdulillah, sebanyak 2,000 kilogram daging korban sejuk beku bersamaan 2,000 pek bernilai RM100,000 telah diserahkan kepada penerima dari sekitar Rembau dalam majlis ini.

“Terima kasih Pengerusi Yayasan Budi Ihsan Malaysia dan Yayasan Pelajaran Mara, Datuk  Rosli Atan atas sumbangan ini,” ujar beliau.

Pada sebelah petangnya pula, Mohamad ke sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong bagi menziarah pesakit-pesakit terlantar dan mereka yang menghidapi penyakit kronik.

“Diharap agar bantuan kerusi roda, lampin pakai buang, bakul makanan dan sedikit bantuan kewangan yang di sumbangkan dapat meringankan sedikit tanggungan keluarga pesakit

“Didoakan agar semuanya segera sembuh. Insya-Allah,” katanya.

Turut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong Datuk Zaifulbahri Idris. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.