Kerajaan Akan Bentang Akta Banteras Akaun Keldai, Tangani Jenayah Penipuan Dalam Talian – Azalina

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan cadangan pindaan undang-undang akan dilakukan bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun keldai pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Menurut beliau ini kerana kebanyakan aktiviti penipuan dalam talian digerakkan dengan menggunakan akaun keldai sebagai tempat persinggahan untuk menyimpan wang milik mangsa sebelum dipindahkan kepada akaun lain.

“Kebanyakan aktiviti penipuan dalam talian digerakkan dengan menggunakan akaun keldai, ‘scammers’ menggunakan akaun-akaun milik orang lain sebagai lubuk atau tempat persinggahan untuk menyimpan wang milik mangsa sebelum ianya berpindah kepada akaun-akaun yang lain.

“Apabila siasatan dijalankan terhadap pemilik akaun-akaun ini, didapati akaun mereka telah disewakan atau diberi akses kepada orang lain secara sukarela atau sebaliknya. Tambahan pula perkara yang menyukarkan proses siasatan adalah pemilik-pemilik akaun ini tidak mengenali pihak ketiga.

“Perundangan yang sedia ada tidak memperuntukkan apa-apa kesalahan bagi tindakan pemilik-pemilik akaun yang membenarkan akaun milik mereka digunakan oleh orang lain dan juga tiada peruntukan khusus yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menyekat pergerakan wang mangsa penipuan dalam talian setelah ia disalurkan kepada akaun kaldai.

“Disebabkan kelompongan inilah kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantras jenayah penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun kaldai secara komprehensif dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung status penggubalan perundangan berkaitan kesalahan dengan akaun keldai di Dewan Rakyat hari ini.

“Kedua-dua cadangan pindaan ini dijangka akan dibawa dan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini setelah memperolehi pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Kerajaan Medani berharap bahawa usaha ini dapat sokongan semua ahli-ahli Parlimen daripada dua-dua pihak untuk memastikan bagi keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat negara kita adalah lebih terjamim,” katanya lagi.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, pindaan tersebut akan memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan penyitaan akaun bank yang disyaiki terlibat dengan aktiviti jenayah siber.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, sebanyak RM2.651 bilion kerugian wang akibat kes penipuan direkodkan daripada 2022 sehingga Jun 2024.

“Didapati juga terdapat peningkatan kerugian secara keseluruhan sebanyak 43.20 peratus bagi tahun 2022 iaitu RM851 juta kepada RM1 bilion bagi 2023, manakala kerugian bagi 2024, RM581 juta,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.