Johor Lancar Tabung Kasih Johor-Palestin, Onn Hafiz Seru Rakyat Bersatu Hulur Bantuan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Menyedari penderitaan saudara-saudara Islam di Semenanjung Gaza, Kerajaan Negeri Johor dengan penuh rasa insaf, tanggungjawab dan prihatin telah melancarkan Tabung Kasih Johor-Palestin.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu perkongsian di laman Facebook dan akaun X memaklumkan tabung tersebut menyasarkan sebanyak RM2.5 juta bagi menggerakkan misi bantuan kemanusian ke Gaza.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih saya ucapkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang telah menyumbangkan sejumlah RM500,000 kepada Tabung Kasih Johor-Palestin.

“Ayuh Bangsa Johor! Mari sama-sama kita bersatu dengan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita.

“Setiap sumbangan, tidak kira kecil atau besar, pasti membawa seribu satu harapan dan akan meringankan beban saudara-saudara kita di sana,” seru Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Ulasnya juga, Palestin semakin kritikal dan kekejaman masih berlaku di bumi Palestin sehingga hari ini.

“Jumlah kematian telah meningkat kepada 37,718 mangsa, manakala seramai 86,377 mangsa dilaporkan cedera setakat 27 Jun 2024. Selain itu, kira-kira 459,000 penduduk Gaza juga kini berada di ambang kebuluran,” katanya.

Selanjutnya, Onn Hafiz menyeru semua berdoa agar Palestin beroleh kemenangan kelak.

“Marilah berdoa untuk Palestin. Saya yakin setiap bait-bait doa daripada kita pasti akan membawa kemenangan besar buat mereka.

“Kekejaman ini harus dihentikan segera! Semoga dengan kekuatan doa dan usaha ini, kemenangan dan keadilan akan berpihak kepada Palestin. Insya-Allah. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.