UMNO Kedah Dukacita, Harap Keluarga Najib Tabah Dan Terus Guna Saluran Perundangan

KUALA LUMPUR, 3 Julai – UMNO Kedah berdukacita dengan keputusan mahkamah hari ini dan meminta agar keluarga Datuk Seri Najib Razak terus tabah serta kuat menghadapi keputusan yang tidak diduga ini

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pada masa yang sama UMNO Kedah juga memohon agar pihak keluarga tidak mengalah dan terus menggunakan ruang-ruang perundangan yang ada bagi memperjuangkan keadilan untuk Najib.

“UMNO Negeri Kedah menggesa dan merayu agar pihak-pihak yang mempunyai bukti dan pengetahuan tertentu akan kewujudan perintah tersebut untuk tampil dan pada masa yang sama merungkaikan persoalan dan dilema yang besar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi UMNO Kedah juga menggesa Kerajaan Perpaduan untuk menyatakan pendirian akan kewujudan surat titah tersebut.

“UMNO Kedah percaya, pendirian ini penting bagi memastikan hak Datuk Seri Najib sebagai warganegara untuk mendapat keadilan dan status tersebut dapat diberikan seadil-adilnya,” tambahnya.

Dilaporkan, Mahkamah Tinggi menolak ermohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.