Malaysia Akan Terus Lantang Dalam Isu Palestin – Mohamad

PUTRAJAYA, 3 Julai – Malaysia akan terus lantang bersuara di setiap pentas dunia agar pembunuhan kejam rakyat Palestin dihentikan serta gencatan senjata di Gaza kekal, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata adalah menjadi harapan Malaysia agar rakyat Palestin dapat balik ke kampung halaman masing-masing dan sebuah negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan secepat mungkin.

“(Kita) harap sebuah negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan secepat mungkin dan rakyat dapat kembali ke tanah air mereka mengikut garis sempadan sebelum 1967.

“Ini harapan seluruh masyarakat antarabangsa agar isu Gaza dapat diselesaikan,” katanya kepada media selepas pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, di sini hari ini.

Mohamad berkata Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadual September ini akan menjadi pentas utama untuk menyuarakan dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Kita (Malaysia) mahu supaya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penghakiman sementara oleh mahkamah keadilan antarabangsa itu dikuat kuasa, cadangan tiga fasa gencatan senjata oleh Amerika yang diterima semua pihak,” katanya.

Mohamad berkata memandangkan pintu masuk ke Rafah telah dimusnahkan, satu-satunya pintu yang dibuka untuk penghantaran bantuan kemanusian ke Gaza adalah melalui Jambatan Allenby/Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan.

Oleh itu, beliau berkata sebarang bantuan kemanusiaan seeloknya dihantar melalui Jordan memandangkan negara itu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Sementara itu, beliau berkata program hari ini bertujuan untuk menguar-uarkan inisiatif kemanusiaan yang dijalankan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan syarikat-syarikat swasta bagi membantu rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang sedang menderita akibat kekurangan bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas.

Pada majlis itu pelbagai inisiatif dilancarkan antaranya kerjasama dengan Touch ‘n Go melalui eWallet dan Misi Satu Juta Pek Makanan dan Daging Korban ke Bumi Palestin oleh Yayasan Budi Ihsan Malaysia.

Mohamad berkata Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) sehingga kini mengumpul sebanyak RM98.8 juta dan daripada jumlah itu, RM35 juta telah disalurkan kepada pertubuhan antarabangsa di bawah PBB seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.