Sollehin Yakin Usaha Dilakukan Penerangan Pemuda UMNO Dapat Raih Sokongan Pengundi Sungai Bakap
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Penerangan Pemuda UMNO telah menggerakkan semua jentera parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap untuk membantu memenangkan calon Kerajaan Perpaduan dengan menyelaras gerak kerja bagi semua yang terlibat.
Ketuanya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie yakin usaha yang dibuat dapat mengeluarkan pengundi Melayu dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin dengan usaha yang dibuat adalah untuk pengundi Melayu yang menjadi penyokong kuat UMNO dapat keluar mengundi serta beri sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan. PRK Sungai Bakap ini menjadi petanda aras dengan segala usaha yang dibuat kerajaan kali ini mendapat respon sama ada baik atau sebaliknya.
“Rakyat hendak melihat pemimpin yang mampu bawa perubahan negara dan dalam ketidaktentuan ekonomi, ketidakstabilan politik namun alhamdulilah, kita masih memperoleh kestabilan negara. Ini adalah usaha yang dilaksana kerajaan iaitu bertungkus-lumus bagi memastikan ekonomi kembali pada prestasi yang terbaik.
“Walaupun ada keputusan yang kurang popular dibuat oleh pihak kerajaan tapi saya percaya ia demi kebaikan rakyat pada masa akan datang iaitu memastikan ekonomi mampu berkembang dengan sangat baik,” katanya kepada UMNO Online.
Pada masa yang sama, Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang mengharapkan kerajaan dapat perhalusi semula penyelerasan subsidi diesel.
“Kita melihat penyelarasan dan penyasaran subsidi diesel ini perlu dilaksanakan cuma paling penting kaedah pelaksanaan itu harus diperhalusi. Kita tidak mahu apa jua polisi dan dasar dibuat dengan kadar tergesa-gesa, akhirnya beri kesan pada rakyat dalam keadaan rakyat tidak bersedia sama ada atau tidak hadapi subsidi.
“Dengan penyelarasan subsidi dan bantuan seperti Budi Madani bagi memastikan subsidi yang sedia ada dikekalkan bagi golongan nelayan dan sebagainya, diharap tidak ada yang tertinggal. Golongan yang tertinggal dan ini perlu diperhalusi semula supaya kesan ini tidak memberi ‘dominant effect’ kepada harga barang dan makanan,” katanya lagi.
Persoalannya tambah beliau, dalam usaha ini penyelarasan subsidi diesel ini, kerajaan dapat berjimat RM4 bilion, tapi bagaimana wang tersebut disalurkan kepada golongan yang tidak berkemampuan seperti B40 dan M40 yang juga terkesan.
“Sudah tentu penyelarasan subsidi diesel sedikit sebanyak beri kesan panik untuk rakyat tapi dengan keberadaan pemimpin UMNO dalam kerajaan, dengan pengalaman yang sedia ada dan pernah lalui pada zaman tersebut, diharap dapat diselesaikan,” ujarnya. – UMNO Online