Kesetiaan, Kesabaran Dan Keyakinan Ahli Puteri Amat Tinggi – Abd Razak

KOTA MELAKA, 2 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kesetiaan, kesabaran dan keyakinan ahli Puteri di bahagiannya amat tinggi sekali.

Ujar Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, hampir dua tahun pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang tetapi ahli-ahli Puteri masih kekal setia bersama parti.

“Kesetiaan, kesabaran dan keyakinan ahli Puteri Bahagian Kota Melaka amat tinggi sekali. Waktu kita berada di ambang kekalahan 2018, tidak mempunyai kuasa dan sebagainya, tetapi Puteri masih kekal setia, sabar dan taat kepada UMNO.

“Sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri) 2021 kita berada dalam keadaan yang begitu daif kerana negeri kita kalah, pusat begitu juga. Selama dua tahun kita berazam untuk memastikan kuasa yang hilang selama dua tahun itu dikembalikan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua Puteri dalam masa dua tahun kita bergerak dalam serba kekurangan tiada kuasa tiada peruntukan tetapi tahniah kepada Puteri kekal bersama untuk rampas kembali,” kata Exco Kerajaan Negeri Melaka yang memegang portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.

Abdul Razak berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka di sini, petang Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan turut dihadiri Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka Nur Farhana Ab Ghani.

Seterusnya kata Abdul Razak, UMNO Bahagian di bawah kelolaannya mengamalkan konsep kesatuan dan setiap keputusan akan melalui proses perbincangan bersama.

“Saya tekankan kesatuan. Kesatuan di Bahagian Kota Melaka ini begitu kuat sekali. Apa juga keputusan yang dibuat, dibuat dalam perbincangan kekeluargaan.

“Dalam pemilihan yang lepas tidak ada satu pertandingan di Bahagian Kota Melaka melibatkan jawatan tertinggi daripada Puteri sampailah ke Bahagian. Bukan kerana diktator tetapi atas dasar perundingan, kesatuan kita dan ia berlaku.

“Dalam masa sama saya tidak pernah mengekang ataupun menahan sekiranya ada ahli-ahli saya boleh diangkat ke tahap yang lebih tinggi sebagai pemimpin. Di Kota Melaka kita tidak amalkan ‘cah keting’. Contohnya di peringkat Puteri, Pemuda dan Wanita,” katanya.

Begitu juga Abdul Razak berkata UMNO Bahagian Kota Melaka telah melahirkan ramai pemimpin, sentiasa memberi peluang kepada generasi baharu menerajui parti dan mendapat kerjasama yang cukup baik antara yang lama dan ia boleh diibaratkan sebagai sekolah politik.

Tambahnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang sangat popular di TikTok dengan video-video menyantuni rakyat di kawasan juga merupakan antara contoh produk sekolah politik UMNO Bahagian Kota Melaka. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.