Berat Mata Memandang Maka Berat Lagi Bahu Memikul… Jeffery Nor Santuni Mangsa Banjir Putatan

PUTATAN, 2 Julai – Berat mata memandang maka berat lagi bahu yang memikul. Demikian luah Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed berikutan keadaan banjir yang terpaksa diharungi oleh masyarakat Putatan, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan terdahulu telah menggesa pihak berwajib untuk mengambil tanggungjawab bagi membantu, menyelia dan membersihkan saluran air termasuk parit-parit besar di kawasan terbabit agar aliran air lancar dan banjir besar dapat dielakkan.

“Sudah sampai masa isu ini perlu dimuktamadkan agar masalah banjir dapat dikurangkan. Saya berkesempatan menziarahi beberapa keluarga yang menjadi mangsa akibat banjir luar biasa di daerah Putatan. Ada kawasan yang saya tak dapat untuk pergi kerana air terlalu dalam maka saya mohon maaf,” katanya.

Beliau telah turun padang bersama masyarakat setempat mengharungi banjir di Kampung Ulu Putatan, Kampung Telugi, Kampung Kepayan 2, Kampung Sailan dan Kampung Ketiau.

Jelasnya, di Putatan tebatan banjir telah dibuat bagi mengelak bencana terbabit namun ia tetap berlaku.

“Apa yang dimaklumkan tebatan dibuat mengikut paras air laut… ini isu teknikal tapi alasan ini tidak memberi makna yang sebaiknya kerana banjir tetap berlaku.

“Isunya tetap sama, pengaliran tidak sebaik yang diharapkan biarpun hampir 70 peratus sistem peparitan sudah dilaksanakan, tak tahu dimana silapnya?

“Kawasan banjir tetap sama untuk daerah Putatan ini. Seperkara lagi tidak ada amaran awal disediakan, kita punya jabatan kaji cuaca, kita punya segala agensi tetapi kita hilang fokus dan permasalahan ini menyebabkan ramai penduduk yang terkesan, tidak ada makluman awal bagi mereka menyelamatkan harta benda dan keluarga masing-masing,” katanya dengan kesal.

Jelasnya, beliau sedaya upaya akan berusaha untuk menghulurkan bantuan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terjamin.

“Alhamdulillah awal pagi ini saya dapat sedekahkan sedikit sarapan pagi untuk mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Sri Putatan. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa membantu, juga kepada para petugas dan mangsa banjir di sini.

“Semoga Allah SWT memberi kesihatan yang baik kepada petugas-petugas dan mangsa-mangsa banjir ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.