Pilih Calon Kerajaan Perpaduan, Beri Manfaat Pada Rakyat – Hilmi Elias

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berpandangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tidak memberi kesan terutama kepada pentadbiran Putrajaya atau Pulau Pinang sebaliknya penting untuk pengundinya.

Katanya, walaupun kedua-dua calon mempertaruhkan anak tempatan namun kerajaan negeri masih lagi di bawah Kerajaan Perpaduan, maka pengundi mempunyai pilihan untuk selari dengan Kerajaan Perpaduan.

“PRK N20 DUN Sungai Bakap ini tidak memberi apa-apa signifikan kerusi bagi DUN Pulau Pinang. Sekiranya calon PN kalah atau menang pada pilihan raya ini ianya tidak mengubah kerusi di N20 atau pun di Pulau Pinang.

“Ini telah diakui oleh calon PN bahawa beliau sendiri tidak dapat memberikan ‘serve’ yang terbaik sekiranya memenangi DUN dan ia adalah satu kerugian bagi rakyat sekiranya memilih calon tersebut.

“Rakyat kena ingat bahawa setiap pilihan raya ini dan akhirnya keuntungan biar berpihak pada rakyat. Ini bukan soal dasar dan polisi tetapi rakyat harus melihat keuntungan kepada mereka sebagai pengundi,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas beliau, telah terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) wakil rakyat lalu tidak dapat beri khidmat yang terbaik pada rakyat.

Oleh itu katanya, calon yang bakal dipilih mesti dari sebuah parti yang mampu beri khidmat cemerlang dikawasan itu dan akhirnya untung pada rakyat.

Mengulas lanjut beliau mengharapkan rakyat yang bakal mengundi di PRK Sungai Bakap dapat mengundi calon Kerajaan Perpaduan berdasarkan kepentingan umum.

“Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang ingin mendidik rakyat agar mengundi calon parti berdasarkan polisi. Sekiranya hendak memberi undi kena lihat beberapa perkara antaranya tidak memainkan sentimen perkauman semata-mata dan tidak bermain dengan isu 3R,” tegasnya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 2 Julai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.