BN Guna Lambang Sendiri, Kerjasama Bersama PH Diteruskan – Ahmad Zahid

MARAN, 30 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) akan menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pada masa yang sama katanya kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan dan masing-masing menggunakan lambang sendiri.

“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.

“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi oleh mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, di Pekan Tajau dan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta pimpinan UMNO setempat lain.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengingatkan ahli parti agar tidak melayani segala fitnah apatah lagi mereka yang cuba meruntuhkan UMNO.

Tegas beliau gara-gara tindakan berkenaan, UMNO sebagai contoh di Maran pada PRU yang lalu tewas di Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Disebabkan terlalu sibuk kita melayani masalah dalaman, maka kita kecundang. Kecundangnya kita bukan disebabkan oleh orang di luar UMNO tetapi diri kita sendiri. Parti di luar sana tidak kuat, tetapi UMNO lemah, UMNO berpecah, kita asyik melayani perbedaan pendapat, pendirian di dalam diri kita, maka orang lain ambil kesempatan.

“Insya-Allah saya tidak akan mengizinkan hal ini berlaku lagi di Maran serta seluruh negara,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.