Sayap Parti Harus Main Peranan Beri Pencerahan, Suburkan UMNO – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru kepada seluruh sayap UMNO agar memainkan peranan untuk menyuburkan parti melalui usaha-usaha yang dilakukan masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan seterusnya berharap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dapat menawarkan idea yang kreatif teemasuk penyelesaian kepada isu-isu utama kerana anak muda memerlukan pencerahan.
“Kita harus menawarkan idea, solusi atau penyelesaian sebagai alternatif kepada isu-isu utama masyarakat yang berhadapan dengan berbagai masalah dan cabaran. Anggota sayap UMNO juga merupakan golongan muda yang lebih memahami keadaan hari ini dan memainkan peranan dengan memberi pencerahan kepada isu-isu yang membelenggu masyarakat.
“Kita perlu bersuara mengenai perkara-perkara semasa dan mesti proaktif, sentiasa mengemukakan pandangan, saranan serta jalan penyelesaian kepada perkara-perkara yang dihadapi oleh masyarakat dan juga negara. Hari ini persaingan adalah berasaskan kepada idea dan pemikiran.
“Ini penting untuk membangunkan strategi menarik pengundi dan orang muda. Jumlah pengundi Melayu di Parlimen Setiawangsa melebihi 60 peratus. Sekiranya mengamati senarai pengundi tegar UMNO semakin berkurangan kerana jumlah pengundi anak muda setiap bulan meningkat, manakala ahli UMNO tidak meningkat secepat dan sebanyak peningkatan jumlah pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat serentak perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa di The Gabion Garden Hall, malam tadi.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak,; Timbalan Ketua, Datuk Ahmad Fauzi Zahari: Ketua Wanita UMNO, Seriwani Sabtu; Ketua Pergerakan Pemuda, Muhamad Fadzmel Mohd Fadil ; Ketua Pergerakan Puteri, Siti Nor Hasyyati Abdul Rahman, kepimpinan bahagian serta ahli parti UMNO Setiawangsa.
Seterusnya Khaled berharap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa dapat menarik orang-orang muda untuk keterlibatan mereka bersama-sama UMNO.
“Pemuda dan Puteri khususnya mesti mempunyai agenda untuk orang muda. Mereka mesti dipikat dengan cara yang baharu, cara yang lebih segar, lebih selari dan menangkap pemikiran orang muda yang hari ini sebenarnya tidak berminat dengan politik kepartian.
“Ramaikan golongan profesional dan mendekati NGO, aktivis dan juga gerakan sivil. Ini bermakna UMNO melalui sayapnya, mesti membangunkan keupayaan mereka.
“Kita mesti bersedia ‘friendly’, bersifat terbuka kepada NGO dan aktivis masyarakat. Kita mesti mengambil pendekatan bahawa mereka bukan pesaing dan jangan menjauhi mereka, tetapi mereka adalah perlengkap kepada perjuangan kita,” katanya lagi.
Ujarnya, UMNO mesti mempunyai platform untuk membincangkan perkara-perkara seperti kemiskinan bandar, perubahan cuaca hak asasi manusia, kesihatan mental, bioderversiti dan sebagainya kerana ia menjadi perkara tumpuan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menggesa sayap-sayap UMNO dapat maksimum penggunaan media sosial.
“Sayap-sayap UMNO Bahagian Setiawangsa mahir dalam menggunakan teknologi digital. Harus maksimum impak media sosial dan ledakan teknologi bagi tujuan meningkatkan capaian serta meningkat imej parti.
“Kita perlu tingkatkan lagi imej pemimpin-pemimpin bahagian supaya rakyat di Parlimen Setiawangsa tahu dan kenal pemimpin UMNO supaya kerja-kerja kebaikan yang pemimpin parti lakukan dapat mempengaruhi masyarakat dan seterusnya UMNO akan mendapat sokongan dari pelbagai masyarakat,” ujarnya lagi. – UMNO Online