UiTM Berperanan Penting Lahir Golongan Profesional, Teknokrat Bumiputera – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Universiti Teknologi Mara (UiTM) berperanan penting bagi membantu kerajaan merealisasikan sasaran melahirkan 51 peratus golongan profesional dan teknokrat dalam kalangan Bumiputera.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu perlu, memandangkan tidak ada satu bidang profesional dan teknikal yang Bumiputera telah mencapai kadar peratusan berkenaan.

“Suatu ketika dahulu, UiTM di atas nama ITM (Institut Teknologi Mara) mempunyai seorang Arshad Ayub (tokoh pendidikan negara Allahyarham Tun Arshad Ayub) yang sangat ke hadapan, dalam bidang pendidikan profesional dan teknikal.

“Saya dan kerajaan tentunya mengharapkan seorang lagi Arshad Ayub dapat diwujudkan di UiTM, agar apabila kita kembali ke landasan asal maka pencapaian itu akan dapat dilakukan dalam kadar segera,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia, di sini semalam.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan profesional UiTM dan berharap agar pertemuan itu dapat diteruskan dalam usaha mencapai objektif mengeluarkan profesional dan ahli teknokrat dalam negara.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi UiTM Seluruh Malaysia dianjurkan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UiTM, yang antara lain bertujuan memperkasa hala tuju institusi itu selaras dengan agenda Malaysia MADANI dan penghayatan Rukun Negara.

Program yang julung kali diadakan ini, telah mengumpulkan seramai 74 orang peserta terdiri daripada kepimpinan tertinggi UiTM seluruh negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.