Pengorbanan Wanita Diiktiraf, Jasa Khidmat Bakti Kepada Negara Dan Keluarga

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan peranan wanita tidak boleh dipertikaikan sebagai individu penting dalam memberikan sumbangan khidmat kepada keluarga dan negara.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian sebagai meraikan anugerah tokoh wanita yang diberikan meliputi kepelbagaian latar belakang.

Anugerah itu dianjurkan khas pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya yang berlangsung hujung minggu lalu.

“Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.

“Ungkapan ini jelas membuktikan wanita walaupun bersifat lemah lembut dan keibuan, tetapi pengorbanan mereka cukup besar dalam memberikan sumbangan dan khidmat kepada negara mahupun keluarga.

“Merekalah wanita luar biasa yang boleh dijadikan idola buat anak muda di luar sana. Tahniah Wanita UMNO Hang Tuah Jaya yang turut memberikan anugerah kepada tokoh-tokoh Wanita daripada pelbagai latar belakang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mesyuarat tersebut yang diadakan di Hotel Mudzaffar, Melaka International Trade Centre itu menyaksikan kehadiran Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Kalsom Noordin selaku tuan rumah.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali berserta Ahli Jawatankuasanya dan Naib Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Rabiatul Adawiyah.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah Siti Kalthom Ahmad selaku pemerhati dari Badan Perhubungan Wanita UMNO Negeri Melaka dan pemangku Ketua Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu Tuminah Kadi @ Mohd Hashim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.