Kerajaan Negeri Johor Tubuh Satu Task Force Khas Tangani Isu Berkaitan Warga FELDA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kerajaan Negeri Johor membentuk satu pasukan tugas khas atau task force bagi menangani isu-isu yang masih lagi dihadapi oleh warga FELDA di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, FELDA merupakan pemegang taruh yang penting untuk negeri Johor.

“Isu perumahan generasi baharu FELDA, lot generasi baharu dan pencerobohan ladang oleh gajah liar adalah antara perkara dibincangkan semasa perjumpaan dengan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan barisan pengurusan atasan FELDA.

“Turut disentuh juga mengenai fasiliti dan infrastruktur di kawasan FELDA untuk sentiasa dinaiktaraf serta diselenggara secara berkala bagi menjamin persekitaran yang baik dan cantik buat seluruh warga peneroka,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook dan akaun X.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Datuk Zahari Sarip, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Haji Ashari Kasnan.

Turut hadir, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor Haji Shakib Haji Ali, Pengarah Besar FELDA Datuk Amiruddin Abdul Satar dan barisan kepimpinan FELDA serta Ketua Peneroka FELDA Wilayah Johor Bahru Sharon Ab Rahman.

Seterusnya, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berharap agar pertemuan tersebut membuahkan hasil bagi manfaat masyarakat FELDA di negeri itu.

“Insya-Allah kerajaan negeri bersama-sama pengurusan FELDA akan terus bekerjasama erat agar segala perincian yang diutarakan hari ini dapat diselesaikan dengan baik dan segera,” katanya.

Terkini, dalam satu hantaran di laman X, Onn Hafiz berkata Kerajaan Negeri Johor mencadangkan agar diwujudkan Johor Talent Development Council, yang dianggotai agensi-agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Hal ini tentunya mampu melahirkan pekerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri di JS-SEZ dan SFZ kelak.

“Perkara tersebut dikongsikan semasa program National Training Week (NTW). Pelbagai kursus dan aktiviti latihan ‘upskilling dan reskilling’ ditawarkan merangkumi bidang Pendidikan dan Latihan, Kemahiran Insaniah, Komputer dan IT, Keselamatan dan Kesihatan, Pengurusan dan Strategi, Kejuruteraan, Pemasaran dan Jualan, Sumber Manusia, Kreativiti dan Inovasi serta Pengukuhan Pasukan dan Motivasi,” katanya.

Onn Hafiz juga bersyukur lebih 13,000 penyertaan dengan lebih 400 kursus serta 75 aktiviti latihan ditawarkan secara percuma.

“Jutaan terima kasih kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta rakan usahasama dari pelbagai agensi yang telah berusaha menjayakan program ini.

“Sambutan baik ini diharap dapat diteruskan, agar Bangsa Johor dilengkapi dengan ilmu pembelajaran sepanjang hayat. Saya doakan agar usaha murni ini dapat membantu kita bersama-sama memajukan Negeri Johor yang kita sayangi ini. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.