Dasar Gaji Progresif (DGP) Tambah Baik Struktur Sektor Swasta – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kerajaan telah menetapkan matlamat bagi menambah baik struktur gaji dan upah pekerja sektor swasta melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP).

Menurut beliau, pengenalan dasar baru ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu perintah gaji minimum dan sistem upah yang dikaitkan dengan Produktiviti.

“Pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif atau DGP bermula pada Jun hingga Ogos 2024. Walau bagaimanapun majikan telah boleh mula mendaftar melalui laman sesawang www.gajiprogresif.gov.my pada 15 Mei 2024. Pembayaran insentif diberi bagi tempoh setahun.

“Pelaksanaan projek rintis DGP bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan. Penilaian impak projek rintis akan dibuat pada September 2024 sebelum pelaksanaan DGP secara menyeluruh diputuskan oleh Jemaah Menteri yang dijangka akan berlaku pada Oktober 2024.

“Sehingga Jun 2024, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Pekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi telah menganjurkan serta menghadiri sebanyak 16 sesi libat urus yang melibatkan wakil majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan dari Datuk Seri SH Mohmed Puzi SH Ali (Pekan-BN) di Dewan Rakyat hari ini mengenai status pelaksanaan dasar gaji progresif di peringkat kementerian dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

Selanjutnya, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis mendapati majoriti pihak majikan dan pekerja memberi maklum balas yang positif terhadap pelaksanaan DGP.

“Ini turut digambarkan menerusi sambutan yang amat menggalakkan dalam sesi Town Hall Projek Rintis DGP yang telah diadakan pada 6 Jun 2024 lalu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang disertai oleh 1,500 peserta.

“Permohonan majikan untuk menyertai projek rintis DGP juga kian meningkat. Majikan yang berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.gajiprogresif.gov.my. Sehingga 25 Jun 2024, seramai 732 majikan telah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah tersebut seramai 237 (32 peratus) majikan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis DGP,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi sebanyak RM50 juta telah disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.

“Pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula pada Oktober 2024 apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan. Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, berikut merupakan proses pemilihan 1,000 majikan untuk menyertai projek rintis DGP dan berdasarkan kepada syarat-syarat:

i. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan;
ii. Berdaftar dengan PERKESO dan KWSP;
iii. Bukan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional;
iv. Tuntutan insentif hanya kepada pekerja warganegara Malaysia, menggaji pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah suatu kontrak perkhidmatan (contract of service), menggaji pekerja yang menerima gaji pokok tidak melebihi had gaji yang ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif. Bagi projek rintis, had gaji yang ditentukan adalah RM1,500 hingga RM4,999 sebulan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.