Subsidi Diesel: Kerajaan Perlu Tingkat Komunikasi, Penerangan Kepada Rakyat – Aswad

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Presiden UMNOSiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Aswad Abdullah berharap agar penyasaran subsidi diesel yang diumumkan oleh kerajaan akan dapat menjimatkan kos kerajaan.

Menurut beliau, walaupun dapat menjimatkan tetapi pihak kerajaan dilihat mengumumkan penyasaran diesel dengan tergesa-gesa dan penerangan tidak sampai ke rakyat.

“Saya yakin rakyat akan berasa lega jika benar penjimatan mampu dibuat oleh kerajaan pada hari ini. Namun, apa yang menjadi kejutan, ia dilaksanakan secara terburu-buru iaitu penerangan yang tidak sampai dan kurang menyengat daripada pihak kerajaan.

“Ini membuatkan pihak pembangkang mudah memanipulasi fakta dengan mengatakan subsidi ditarik walhal ia hanya disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan sahaja.

“Kita mendesak pihak kerajaan dan agensi-agensi penerangan perlu bekerja lebih keras membawa dasar kerajaan agar sampai ke isi hati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Serai menggesa agar rakyat jangan terkeliru penyasaran subsidi diesel yang sentiasa dimainkan pembangkang.

“Penyasaran subsidi diesel ni bagus, bukan tak bagus cuma perlu diberi perhatian yang lebih agar rakyat mudah faham dan isu tidak mudah ditunggang oleh pihak pembangkang.

“Ia sebenarnya tidak kesan langsung pada kos tetapi pihak pembangkang manipulasi fakta kepada rakyat dengan pelbagai alasan mengatakan subsidi ditaril walhal sebenarnya tidak ditarik,” jelasnya.

Pada masa yang sama kata Aswad lagi, sekiranya penyasaran subsidi adalah tepat pada keperluan rantaian bekalan maka sudah tentu pengurangan kos boleh dijana.

“Jika penyasaran subsidi lemah dari segi sasaran kepada keperluan tertentu kadar kos dalam rantaian pemasaran boleh menyebabkan kenaikan harga perlu ditanggung pengguna.

“Terdapat beberapa kesan penting perlu diperhatikan dengan tindakan subsidi diesel bersasar, bagaimana kitaran rantaian bekalan perniagaan dapat menjamin kos pembuatan serta perkhidmatan dikekalkan atau pun boleh dikurangkan.

“Kadar perbelanjaan penduduk dalam negara bergantung kepada kesediaan pendapatan iaitu baki pendapatan seseorang selepas ditolak segala pembayaran hutang, simpanan dan pelaburan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.