Malaysia Konsisten Pendekatan Penyelesaian Dua Negara Dalam Konflik Palestin-Israel

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Malaysia menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelbagai cara dan usaha telah dilakukan di pelbagai peringkat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik di Palestin dan usaha yang paling diterima oleh semua pihak adalah melalui kaedah Penyelesaian Dua Negara.

“Sokongan kerajaan terhadap pendekatan Penyelesaian Dua Negara atau two-state solution dalam konflik Palestin-Israel adalah konsisten. Penyelesaian Dua Negara ini merupakan kunci untuk rakyat Palestin mencapai keamanan, keselamatan dan kemerdekaan.

“Penyelesaian Dua Negara ini bermula dengan Perjanjian Oslo yang disokong oleh kebanyakan negara yang percaya bahawa hanya dengan cara ini penubuhan negara Palestin dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negaranya tercapai.

“Perjanjian Oslo merupakan proses damai untuk menyelesaikan konflik antara Palestin dan Israel yang ditandatangani di Washington, Amerika Syarikat pada 1993 dan di Taba, Mesir pada 1995,” katanya.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO berkata kesepakatan penyelesaian dua negara ini juga berdasarkan kepada resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diperakui di Majlis Keselamatan PBB seperti Resolusi 242 (1967), Resolusi 338 (1973), Resolusi 1397 (2002) dan Resolusi 1402 (2002).

Menurut beliau lagi, Malaysia kekal menyokong Penyelesaian Dua Negara yang merupakan satu kesepakatan antarabangsa atau international consensus yang dipersetujui ke arah penyelesaian konflik di Palestin.

Mohamad turut memaklumkan Penyelesaian Dua Negara ini disokong oleh semua negara termasuk pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara-negara Liga Arab dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Di samping menyokong Penyelesaian Dua Negara, Malaysia juga menekankan supaya pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel dan pengembalian hak tanah yang telah dirampas daripada rakyat Palestin bagi membolehkan mereka mendapat hak untuk kembali ke tanah air mereka.

“Melalui pendirian ini, setiap rakyat Palestin yang diusir secara paksa oleh Israel sejak Peristiwa Nakba pada tahun 1948 berhak untuk kembali ke tanah milik mereka pada masa akan datang.

Dalam pada itu beliau juga berkata pada 10 Jun 2024, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan Resolusi 2735 (2024) di atas cadangan usul yang dibawa oleh Amerika Syarikat untuk membuat gencatan senjata di Gaza melalui tiga fasa.

Fasa tersebut ialah gencatan senjata yang kekal, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan; pertukaran tahanan warga Palestin serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan pembinaan semula Gaza. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.