Jangan Terlena Sentimen Negatif, UMNO Sabah Dipimpin Anak Negeri Sendiri – Bung Moktar

PAPAR, 24 Jun – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membidas pihak yang seringkali memainkan sentimen mendakwa UMNO parti dari Semenanjung yang dikatakan cuba merebut kerusi Parlimen di Sabah.

Tegasnya, UMNO yang sudah 33 tahun bertapak di Sabah dipimpin oleh rakyat tempatan termasuk beliau yang juga penduduk asal negeri ini.

“Ada yang masih mendakwa UMNO parti Malaya (Semenanjung) dan tidak perlulah bertanding Parlimen di Sabah sebab UMNO sudah banyak kerusi di Malaya… kononnya jangan cuba-cuba lagi ambil kerusi Parlimen di Sabah.

“Sebenarnya orang yang bercakap ini mulut celupar maka jangan kita terlena dengan hasutan dan juga kebencian daripada musuh-musuh kita itu. Di Sabah ini kita dalam UMNO cuba berbaik dengan semua orang dan juga dengan semua parti,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata demikian ketika berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kimanis di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan, di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku perasmi; Ketua Bahagian UMNO Kimanis merangkap Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Jamal Nerubi yang juga Ketua UMNO Papar.

Dalam pada itu, Bung Moktar mengingatkan ahli UMNO Sabah supaya tidak terpengaruh dengan hasutan daripada pihak lain atas usaha memburukkan parti.

Menurut beliau permainan politik sedemikian adalah keterlaluan iaitu menimbulkan isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini.

“Rakyat di negeri ini perlu belajar dari sejarah masa apabila ada kaum ditekan sehingga beberapa pemimpin Sabah meminta UMNO untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah demi mewujudkan kestabilan politik agar tidak ada mengabaikan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, sudah tiba masanya untuk jentera di negeri ini memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kami akan memastikan UMNO Sabah terkuat di seluruh negara. Kami akan jadikan sebagai kemenangan kami untuk menyumbang kepada kemenangan UMNO di seluruh negara.

“Kita perlu mengambil iktibar, tidak boleh berlengah lagi, kita tidak boleh lagi jadi melukut di tepi gantang. Kita tidak boleh lagi menjadi parti yang asal ada, asal dapat jadi kerajaan atau apa-apa saja kerana kita perlu ada fokus dan matlamat demi kestabilan masa hadapan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit