Jangan Sombong Dan Angkuh, UMNO Perlu Rapatkan Diri Dengan Rakyat – Dr Akmal

JASIN, 24 Jun – Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh menasihati ahli parti agar jangan bersikap sombong kepada masyarakat sekiranya hendak mengekalkan kerusi yang dimenangi lalu.

Ini kerana katanya, ahli parti perlu sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat dan bukannya hanya semasa berkempen untuk pilihan raya.

“Jangan sombong dan angkuh dengan jawatan. Rapatkan diri kita pada rakyat, mereka mahukan kita duduk bersama dan bukannya dekat pilihan raya baru hendak pergi berkempen. Tiada apa-apa alasan lagi untuk kita menang selepas ini.

“Saya percaya ahli UMNO di Jasin ini berkobar-kobar untuk merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan Parlimen Jasin serta mempertahan DUN yang dimenangi lalu.

Mood politik telah digerakkan kerana kita mahu menang pilihan raya dan meminta semua jawatankuasa di setiap DUN bergerak aktif dan berjumpa pengundi, Insya-Allah… UMNO akan menang di Parlimen Jasin dengan syarat bahawa UMNO mesti berada di hati rakyat Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jasin, di Dewan Alamanda, semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyempurnakan perasmian selain turut disertai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Mustafa Musa, kepimpinan UMNO bahagian serta seluruh perwakilan.

Mengulas lanjut, kata Dr Akmal, Jasin ini adalah kubu kuat UMNO dan dalam Parlimen tersebut terdapat lima DUN.

“Alhamdulillah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kita menang di DUN Serkam, Merlimau, Sungai Rambai dan Rim, tetapi kita tewas di DUN Bemban dan juga Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita hendak menang pada pilihan raya akan datang disemua kerusi yang ditandingi… kalau kita menang walaupun satu kerusi maka semua akan mendapat manfaat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.