Ahli UMNO Perlu Terus Kuat Dan Perkasakan Parti – Mohamad Hasan

JASIN, 24 Jun – Ahli UMNO harus berubah ke arah yang lebih baik dan terus perkasakan parti, demikian tegasnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, ahli UMNO tidak perlu menghebohkan perkara apa yang akan dibuatnya kerana yang penting adalah usaha perkasakan parti dan pastikan kembali kuat.

“Saya harap supaya orang UMNO faham dan yang penting sekali ialah Barisan Nasional (BN) dan UMNO kita sentiasa perkasakan. Tak perlu kita bergembur-gembur kita nak itu, nak buat ini… tak payah. Kita ibarat pokok dedalu, kita hinggap di pohon besar, kita hinggap perlahan-lahan, kita membesar dan juga kita subur di atas pohon tersebut. 

“Kita suburkan diri kita, kuatkan parti dan insya- Allah, bukan saja di Jasin akan kita dapat tawan malah kita juga akan dapat kejayaan yang lain-lain pada masa akan datang.

“Kita mesti berubah… cara untuk mengurus dan tidak perlu bagi tahu orang seperti ‘telur dua, tiga biji seluruh kampung heboh’… tak payahlah… kita duduk diam-diam. Apa yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan TVET… TVET untuk siapa? Kita buat secara perlahan-lahan dan kita hendak capai cita-cita kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jasin, di Dewan Alamanda, semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh selain turut disertai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Mustafa Musa, kepimpinan UMNO bahagian serta seluruh perwakilan.

Pada masa yang sama Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau menasihati ahli parti agar dapat menyelesaikan masalah dalaman.

“Lihat dulu jangan pakai terjun, air tenang jangan sangka tidak ada buaya. Kita lihat dulu sementara kita hendak sampai ke sungai, buat kerja. Selesaikan apa-apa masalah dalaman kita supaya yang kuat kita perkasakan dan yang lemah kita perkuatkan.

“Apa erti perjuangan, apa erti pengorbanan dan apa erti semangat setia kawan. Apa guna kita bercakap pasal masalah atau kegemilangan masa lepas kalau kita tidak ada masa depan, maka masa depan itu penting dan masa depan ini kita mesti mencorakkan dengan baik.

“Pandang elok-elok, berfikir biar panjang, bertindak biar bijak supaya tindakan itu adalah tindakan yang baik iaitu yang boleh mendatangkan banyak faedah dan jangan tergesa-gesa, jangan ikut emosi. Kita ini mesti ada ilmu dan dalam hidup mesti jelas dengan apa yang kita lakukan,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.