Ahmad Zahid Bertemu Wakil Rakyat BN, Rapatkan Barisan Demi Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional.

Beliau berkata pertemuan ini bertujuan memperkukuhkan persiapan dan kerjasama antara kesemua wakil rakyat BN dalam usaha memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Pertemuan tersebut antara lain turut sama membincangkan peranan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

“Kami turut membincangkan persiapan parti bagi menghadapi PRK Sungai Bakap. Semua parti komponen dan Friends Of Barisan Nasional telah memberikan komitmen penuh dalam mempersiapkan jentera parti bagi mencipta kemenangan.

“Sokongan padu ini adalah tanda kesatuan hati dan semangat juang kita dalam membantu calon kerajaan perpaduan mencapai kejayaan dalam PRK tersebut.

Dalam pada itu bersempena Ulang Tahun Jubli Emas Barisan Nasional yang ke-50, Dewan Tertinggi BN telah bersetuju untuk mengadakan beberapa program khas bagi memperkukuhkan hubungan antara parti dengan rakyat.

“Terima kasih kepada semua ahli yang telah hadir dan memberikan komitmen penuh kepada agenda yang dibincangkan. Dengan semangat dan iltizam yang tinggi, saya yakin BN akan terus mara ke hadapan, membawa kesejahteraan dan kemakmuran untuk Malaysia.

“Marilah kita bersama-sama bekerja keras dan berusaha gigih demi masa depan yang lebih gemilang,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.