UMNO Ambil Tanggungjawab Bantu Kerajaan Laksanakan Dasar TVET Negara
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO mengambil tanggungjawab untuk bantu kerajaan melaksanakan dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.
“UMNO di semua peringkat mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan membumikan dan melaksanakan dasar TVET Negara bagi memastikan lebih 250,000 tempat-tempat pengajian TVET yang disediakan oleh 1,345 institusi TVET seluruh negara dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak-anak muda.”
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ( MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, malam tadi.
“Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori oleh Presiden UMNO selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif yang berimpak besar yang mampu membantu anak-anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela dan diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium.”
Seterusnya kata Dr Asyraf, UMNO mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan parti untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.
“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja Gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, maklumnya UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
“UMNO telah menamakan Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir selaku Pengarah Pilhan Raya BN DUN Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room PRK Sungai Bakap,” ujarnya.
Tambah beliau lagi mesyuarat juga bersetuju Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online