Subsidi Diesel: Kerajaan Perlu Empati Kesusahan Rakyat – Fariz Hazurin

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berpandangan langkah yang diambil oleh kerajaan berkaitan penyelarasan subsidi diesel sewajarnya tidak dilaksana terburu-buru.

Ini kerana katanya, ia perlu mengambil kira keadaan semasa rakyat yang masih belum pulih sepenuhnya daripada penarikan subsidi ayam yang dilakukan tahun lepas.

Jelasnya, keadaan ini telah menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat, ditambah pula dengan situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

“Kami akur bahawa menjaga keselamatan ekonomi negara adalah satu tanggungjawab yang penting, tetapi ini perlu diimbangi dengan pemahaman dan empati terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat biasa. Justeru, di samping mengekalkan kewibawaan dan kestabilan, kerajaan juga perlu menunjukkan kepekaan terhadap kebajikan asas rakyat dan memenuhi harapan mereka yang telah memberi mandat dalam pilihan raya.

“Penyelarasan subsidi ini dipercayai sebagai langkah mengawal perbelanjaan kerajaan dan memerangi penyalahgunaan dan seludup. Bagaimanapun, orang ramai mempersoalkan kesan sebenar tindakan ini terhadap kehidupan mereka yang telah terjejas akibat peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang semakin membimbangkan.”

Katanya, di sinilah penting untuk mempertimbangkan alternatif lain yang mungkin lebih berkesan dan lebih sensitif kepada keperluan orang ramai.

“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi harian rakyat malah turut mencabar kepercayaan mereka terhadap janji yang pernah dibuat.

“Rakyat berasa marah dan kecewa bukan semata-mata kerana perubahan subsidi, tetapi kerana mereka melihat ketidaksepadanan antara apa yang dijanjikan dengan apa yang dilakukan.

“Janji politik yang tidak ditepati telah menjadi isu sensitif dalam masyarakat, kerana ia mencerminkan jurang antara jangkaan rakyat dengan realiti kerajaan,” katanya.

Tambah Fariz, kerajaan perlu ada satu pendekatan yang boleh memperkukuhkan sistem pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penyalahgunaan subsidi dan aktiviti seludup.

“Ini termasuk pelaksanaan teknologi canggih untuk memantau dan mengawal pergerakan diesel dengan lebih berkesan, serta meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan untuk memastikan langkah pencegahan dan penalti yang lebih ketat.

“Selain itu, langkah untuk meningkatkan ketelusan dan penglibatan rakyat dalam proses membuat keputusan juga perlu ditingkatkan. Orang ramai perlu diberi penjelasan yang jelas tentang mengapa tindakan tertentu diambil dan bagaimana ia akan memberi kesan positif dalam jangka panjang.

“Ini bukan sahaja membantu meredakan ketegangan sosial tetapi juga mengesahkan hubungan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan,” jelas beliau.

Tegasnya, adalah penting untuk kerajaan mempertimbangkan kesan setiap keputusan terhadap rakyat dan menunaikan janji-janji yang telah dibuat.

“Rakyat telah memberikan mandat kepada kerajaan dengan harapan bahawa kepentingan mereka akan dijaga dan dihormati. Jangan biarkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang dipilih,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam satu kenyataan beliau menerusi Facebook menyarankan kerajaan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan tidak menyalahkan rakyat apabila berlakunya ketirisan subsidi diesel. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.