Perjuangan UMNO ‘Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas’ – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mesyuarat peringkat cawangan yang berlangsung baru-baru ini berjalan dengan lancar memperlihatkan parti berkenaan berada pada landasannya tersendiri untuk beralih ke mesyuarat bahagian.

Kata beliau perkara itu sekaligus membuktikan perjuangan ahli UMNO masih lagi utuh di peringkat akar umbi yang penuh setia menggalas amanah parti.

“Minggu ini, bermulalah mesyuarat UMNO di peringkat bahagian-bahagian seluruh negara. Termasuklah Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri Bahagian.

“Kejayaan pengurusan mesyuarat yang lancar di peringkat cawangan sebelum ini telah membuktikan bahawa perjuangan UMNO masih lagi diterima dan menjadi tarikan ahli-ahli akar umbi yang setia.

“Kini, kita mengorak satu lagi langkah ke peringkat bahagian-bahagian dalam memanifestasikan perjuangan parti yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ sehingga ke saat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, penyusunan strategi, pengurusan isu dan persepsi serta pengukuhan perpaduan antara ahli dan masyarakat umum harus menjadi agenda terpenting untuk kita membawa parti ini sentiasa diterima dan tampak segar sentiasa.

“Semoga mesyuarat tahun ini akan memberi suatu ketumbukan yang padu terhadap jiwa ahli-ahli akar umbi dalam meneruskan wasiat perjuangan UMNO di masa akan datang, insya-Allah.

“Saya doakan semua tatakelola mesyuarat di peringkat bahagian-bahagian dapat berjalan dengan lancar, meriah dan memberi impak yang signifikan terhadap kekuatan parti secara keseluruhannya. Selamat bersidang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.