Pemuda UMNO Bantah Jualan Saham Yang Punyai Kaitan Dengan Israel – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membantah penjualan saham 30 peratus kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel iaitu Blackrock melalui Global Insfrastructure.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun dalam usaha untuk memajukan MAHB, entiti tempatan seperti KWSP dan Khazanah akan mempelopori 70 peratus.

Manakala katanya, 30 peratus kepada GIP dan pihak berkuasa pelaburan Abu Dhabi (Adia) namun pegangan konsortium GIP-Adia (GIP Aurea) akan semestinya didominasi oleh GIP.

“Pemuda UMNO membantah langkah kepada usaha penjualan 30 peratus saham dan menggesa Kerajaan Malaysia untuk menghentikan usaha tersebut. Penjualan ini secara langsung akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat dan mempunyai simpati kepada agenda Zionis.

“Hal ini amat bertentangan dengan pendirian Malaysia yang telah dinyatakan di Persidangan Peringkat Tinggi Panggilan Untuk Bertindak: Respon Kemanusiaan segera untuk Gaza oleh Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 11 Jun lalu.

“Ia juga memberi ruang kepada pro-zionis mengetahui dan terlibat sama dalam menguruskan aset berkepentingan nasional dan awam,” katanya selepas mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, petang tadi.

Dalam perkembangan lain, Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata kerajaan harus memandang serius mengenai penarikan subsidi diesel.

“Langkah kerajaan dilihat tergesa-gesa dalam melaksanakan dan penyasaran subsidi dengan menarik subsidi pukal diesel dan mengapungkan harga mengikut harga pasaran semasa.

“Kenaikan harga diesel yang begitu mendadak telah menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan sekaligus memberi kesan besar kepada sektor ekonomi domestik dengan peningkatan kadar inflasi,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, Pergerakan Pemuda UMNO memberikan tiga pendekatan pada kerajaan agar dapat menanganinya.

“Pertama, memperbesarkan dan memudahkan pemberian subsidi kepada golongan sasar agar proses tidak terlalu kompleks, kerenah birokrasi dan capaian kepada yang memerlukan dapat disampaikan dengan segera.

“Kedua, penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih teratur agar pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa kemuka pengadilan dan kami tidak mahu hanya kerana culas berkaitan penguatkuasaan yang mendorong kepada penyeludupan.

“Ketiga, Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik usaha berkaitan TVET dan telah menggerakkan kempen membantu di seluruh Parlimen bagi memastikan pelajar lepasan SPM mempunyai akses mendapat bantuan,” jelas beliau.

Tegasnya, setakat hari ini Pergerakan Pemuda UMNO telah menerima lebih 500 permohonan TVET dari seluruh negara.

Seterusnya kata Akmal lagi, Pemuda UMNO akan kekal konsisten menjadi suara utama dalam memperjuangkan isu rakyat.

“Pemuda UMNO kekal konsisten menjadi suara rakyat dan memperjuangkan isu rakyat dengan mengutarakan segala idea bagi memastikan setiap dasar dan polisi yang diperkenalkan kerajaan selari dengan usaha UMNO untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit