Turun Padang: UMNO Teruskan Khidmat Bakti, Sentiasa Jaga Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Dikenali sebagai parti yang sering menjadikan khidmat bakti tunggak utama, UMNO sentiasa bersama rakyat khususnya ahli-ahlinya dalam menjaga kebajikan mereka.

Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob berkata, khidmat bakti kepada rakyat mahupun masyarakat setempat perlulah dilaksanakan sebaiknya agar mereka  sentiasa merasai kehadiran UMNO/Barisan Nasional (BN).

“UMNO sebagai sebuah parti yang menjadikan khidmat bakti sebagai agenda utama dalam membela rakyat sentiasa meneruskan gerak kerja agar kehadiran dirasai oleh rakyat.

“Sudah semestinya UMNO ini akan sentiasa bersama dan menjaga kebajikan rakyat, terutamanya ahli-ahli dan akar umbi yang menjadi pendukung parti,” katanya kepada UMNO Online.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang giat turun padang untuk bertemu dengan rakyat di Pendang.

Menurutnya, beliau telah menziarahi rakan-rakan di Kampung Batu Menunggul sebelum singgah beramah mesra dengan warga Kampung Pokok Tai pada majlis kenduri-kendara yang diadakan.

Seterusnya, beliau turut ke Kampung Padang Durian untuk bertemu dengan salah seorang penduduk yang baru sahaja kehilangan suaminya. Di samping bertanya khabar, beliau juga mengambil peluang tersebut untuk mengucapkan takziah.

Akhir sekali, beliau turut singgah ke Kampung Gelung Gajah untuk berjumpa dengan Ahli-Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Cawangan UMNO di sana.

Sesungguhnya politik khidmat bakti yang diamalkan oleh UMNO menyebabkan parti ini sentiasa relevan dan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat terutamanya mereka memerlukan.

Meskipun tidak lagi mengepalai pentadbiran negara secara sepenuhnya, UMNO/BN sentiasa akan meneruskan tradisi parti dan akan mendekati masyarakat dengan caranya tersendiri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.