Lawatan Li Qiang Bakal Bawa Hubungan Erat Malaysia-China – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang bakal membawa kepada hubungan lebih erat antara dua negara terutamanya dalam pelaburan dan perdagangan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kunjungan sulung Li Qiang ke Malaysia menandakan betapa signifikannya Jubli Emas hubungan Malaysia-China.
“31 Mei 2024, genap 50 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Ketibaan Perdana Menteri China, Li Qiang, untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini menandakan betapa signifikannya Jubli Emas hubungan Malaysia-China ini.
“Selain sambutan rasmi di Dataran Perdana, beliau turut mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.
Menurutnya, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia bagi 15 tahun berturut-turut dan menjadi pelabur asing terbesar negara pada tahun 2023.
“China adalah rakan dagang terbesar Malaysia bagi 15 tahun berturut-turut sejak tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion pada 2023. China juga antara pelabur asing terbesar dengan pelaburan langsung sebanyak RM14.5 bilion pada 2023.
“Saya yakin lawatan rasmi Perdana Menteri China ini akan membawa kepada hubungan yang lebih erat antara Malaysia-China, khususnya dalam pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Untuk rekod, lawatan Li Qiang ke Malaysia yang bermula dari Selasa hingga Khamis ini adalah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013. – UMNO Online