Gabungan UMNO Sabah: Banyak Pertimbangan, Perlu Buat Keputusan Awal Mudahkan Gerak Kerja– Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat banyak pertimbangan yang perlu diambil kira untuk parti berkenaan mencari rakan gabungan di negeri tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Bagi beliau yang juga Ketua UMNO Tuaran, pertimbangan utama sudah pasti perlu melihat kepada sejauh mana keberadaan parti berkenaan berada di dalam gabungan tersebut dan paling penting tentunya gabungan manakah yang membolehkan UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk nanti.
“Di Sabah saya kira pertamanya kita tidak boleh bergerak solo. Kita kena mencari rakan dalam usaha kita untuk berkhidmat sebaiknya dan sudah pasti untuk berdepan PRN nanti… rakan ini pula ramai. Jadi ada banyak pertimbangan-pertimbangan… bukan sahaja keserasian antara dua-dua parti, tapi juga dari segi pengagihan kerusi dan dari segi perjalanan UMNO itu sendiri selepas pilihan raya nanti.
“Yang paling penting kepada saya ialah mana satu gabungan yang membolehkan UMNO Sabah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan berada dalamnya kerana itu adalah petunjuk kepada kekuatan UMNO dan relevansinya kepada rakyat.
“Kalau kita bertanding 73 kerusi, tapi kalah semua bertanding… jadi lebih baik kita bertanding, cari kawan dan adakan satu gabungan, tetapi kita menang cukup untuk menunjukkan prestasi kita dan kita berada dalam kerajaan supaya dapat menguruskan negeri bersama,” katanya kepada UMNO-Online.
Abdul Rahman seterusnya berpandangan keputusan mengenai gabungan mana yang akan dibentuk perlu dilakukan secepat mungkin supaya segala perancangan dan pelaksanaan lain dapat dijayakan sebaiknya.
“Kita kena buat keputusan mana satu gabungan yang perlu kita gunakan. Kita tidak cukup masa… tidak ada cukup masa untuk kita menyediakan perkara-perkara yang perlu untuk berdepan dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
“Keputusan perlu dibuat secepat yang boleh, mana satu gabungan yang kita nak gunakan untuk berdepan dengan pilihan raya. Saya berharap Presiden dan juga kepimpinan parti berbincanglah baik-baik dan kemudian beritahu kepada kita supaya kita dapat uruskan sebaiknya bermula daripada sekarang,” tambahnya lagi.- UMNO Online